Aktiviti guna tanah mungkin punca banjir puing di Bukit Tinggi
PUTRAJAYA - Aktiviti guna tanah di bahagian hulu saliran berkemungkinan menjadi punca kepada banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong pada Sabtu lepas, menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
NRECC memaklumkan aktiviti guna tanah itu menjadi penyumbang kepada kadar hakisan tanah yang tinggi melalui aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian dan penggunaan sistem saliran tanaman yang tidak sesuai berdasarkan kepada bentuk serta kecerunan.
Menurut NRECC, semakan dan tinjauan awal Pejabat Hutan Daerah Bentong menggunakan dron mendapati terdapat satu runtuhan tanah dalam Hutan Simpan Bukit Tinggi di tepi anak Sungai Tanglir, iaitu kawasan sekitarnya pernah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian seluas 2.02 hektar tetapi tindakan penguatkuasaan telah diambil pada Mac lepas.
"Penanaman semula pokok telah dilakukan di kawasan itu dan pada masa ini, semakan semula sedang dibuat untuk mengesan sekiranya terdapat kawasan baharu yang diteroka berhampiran kawasan kejadian,” menurut NRECC dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada Sabtu, hujan lebat selama tiga jam dengan keamatan sederhana antara 23.5 milimeter (mm) hingga 53mm mengakibatkan banjir puing dengan beberapa rumah, premis perniagaan dan jalan raya dinaiki air pada purata kedalaman kawasan 0.3 meter (m) hingga 0.6m.
NRECC memaklumkan hujan lebat juga menyebabkan hakisan dan ketidakstabilan di bahagian hulu saliran seterusnya menyumbang kepada kejadian kepala air yang membawa batu dan enapan hingga menyebabkan lintasan jalan yang dibina tersumbat dan aliran Sungai Tanglir melimpah ke jalan.
Sebagai langkah mitigasi segera, NRECC menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai dan pembersihan sisa batuan serta enapan di kawasan bencana dan dijangka mengambil masa sebulan kerana melibatkan pengalihan batuan besar dan semua enapan dalam aliran sungai.
Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan mengenal pasti serta menandakan zon bahaya serta zon kawalan di tapak kejadian bagi membantu agensi responder (agensi tindak balas) serta agensi pelaksana dalam menjalankan mitigasi cerun, mengenal pasti elemen berisiko serta ancaman berlakunya runtuhan susulan, menurut NRECC.
Pihak JMG juga akan menjalankan pemetaan tapak bagi menandakan cerun yang telah runtuh dan berpotensi runtuh berdasarkan tanda ketidakstabilan serta mengenal pasti faktor yang mungkin menyumbang kepada kejadian aliran puing tersebut.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turun padang meninjau kawasan insiden pada pagi Ahad berkata, langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!