5.3 juta pengguna akses pelantar DELIMa - KPM
Sehingga kini, 5.3 juta pengguna pelbagai peringkat dapat mengakses DELIMa pada bila-bila masa di mana sahaja.
A
A
A
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pelantar DELIMa berkenaan juga telah diakses 99.5 peratus atau 420,000 guru bagi tempoh sama.
"Sehingga kini, 5.3 juta pengguna pelbagai peringkat terdiri daripada murid sekolah rendah, menengah, pelajar lepasan menengah iaitu Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi dan pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG), pelajar Kolej Vokasional, guru, pensyarah dan pemimpin pendidikan dapat mengakses DELIMa pada bila-bila masa di mana sahaja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Profesor Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah berhubung pelaksanaan dan hasil pendekatan polisi pengajaran dan pembelajaran digital bagi memastikan generasi baharu adalah celik digital.
Lim berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) esok, untuk memastikan transformasi pendidikan berada pada landasan tepat ke arah melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada September lepas berkata, DPD akan diluncur bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0 menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!