CUEPACS bantah penubuhan jawatankuasa pantau kecenderungan politik penjawat awam

Foto hiasan. Gambar kecil: Adnan
Foto hiasan. Gambar kecil: Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan penubuhan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam dengan menyifatkan ia merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat menegaskan, setiap penjawat awam kekal profesional sebagai tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

Oleh itu beliau berpandangan, sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi serta pandangan politik masing-masing.

"CUEPACS memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab, selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

"Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.

"Bagaimanapun dalam konteks demokrasi, penjawat awam berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuk ketika mengundi pada pilihan raya," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu menurut Adnan, tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bertujuan meninjau kecenderungan politik golongan berkenaan.

"CUEPACS ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini, adakah pengundi hanya penjawat awam sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang telah menjadi kerajaan pada hari ini.

"Apabila sudah menjadi kerajaan, sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja kepada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam," tegasnya.

Sementara itu beliau turut menyifatkan ia tidak adil sekiranya seluruh penjawat awam disasarkan hanya kerana memiliki kecenderungan politik berbeza.

Dari sudut penjawat awam, Adnan berkata, sememangnya mereka harus mendokong aspirasi kerajaan memerintah, namun sebagai individu pula golongan itu ada pilihan apabila tiba masa untuk memilih.

"Langkah yang dicadangkan ini juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain memantau kecenderungan politik penjawat awam.

"Apatah lagi penubuhan jawatankuasa ini menggunakan sumber sedia ada kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!