Larangan mandi di Bukit Lagong susulan kejadian pusaran air
SELAYANG - Lokasi riadah Bukit Lagong ditutup bagi aktiviti mandi-manda selepas insiden lemas membabitkan seorang remaja pada Ogos lalu.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, penutupan sementara dilakukan bagi kerja penyelenggaraan termasuk pemasangan tali dan batu sungai bagi atasi pusaran air.
Menurutnya, pemantauan berkala dilakukan bagi memastikan tiada aktiviti mandi-manda sepanjang penutupan lokasi tersebut.
"Pemantauan adalah melalui kontraktor penyelenggaraan yang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut.
"Setakat pemantauan berkala yang dijalankan, pengunjung mandi di kawasan yang selamat dan bukan di lokasi yang dipasang tali kuning," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun ditemukan lemas selepas mandi di lokasi riadah tersebut.
Mangsa berjaya diselamatkan orang awam namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Susulan penutupan tersebut, MPS menasihatkan orang ramai serta pengunjung untuk patuh dan tidak mengambil ringan tentang bahaya di kawasan tersebut.
"Sebagai langkah keselamatan tali kuning serta papan tanda amaran kawasan merbahaya pusaran air turut dipasang.
"MPS ingin mengingatkan bahawa sebarang kemalangan adalah di bawah tanggungjawab sendiri, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!