Lima cedera nahas tujuh kenderaan
GEORGE TOWN - Lima cedera selepas dilanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita di Jalan Bukit Gambir, di sini pada petang Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, kejadian berlaku berdekatan pintu keluar Universiti Sains Malaysia (USM) pada jam 3 petang.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan empat kereta dan tiga motosikal.
"Kejadian berlaku dari arah Jalan Bukit Gambir ke Jalan Tun Dr Awang. Ia berpunca apabila Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 60 tahun yang datang dari arah sama hilang kawalan lalu melanggar kenderaan di hadapannya.
"Ketika itu, kesemua kenderaan tersebut sedang menunggu lampu isyarat merah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, akibatnya, pemandu kereta tersebut cedera di dada manakala empat yang lain turut mengalami kecederaan.
"Seorang penunggang motosikal cedera di leher dan kaki kanan manakala pemboncengnya cedera di kepala. Seorang lagi penunggang motosikal patah kaki manakala seorang penunggang cedera namun belum disahkan tahap kecederaannya.
"Seorang pemandu wanita serta dua pemandu lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Kata Saravanan, siasatan awal mendapati, pemandu wanita berkenaan telah bergesel dengan salah sebuah motosikal di lokasi kejadian.
"Dia kemudiannya panik lalu menekan pedal minyak sehingga kenderaannya hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain.
"Tiga daripada empat lelaki yang cedera merupakan pelajar USM manakala seorang mangsa lagi adalah petugas di universiti berkenaan," katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!