Sumbangan tidak sampai hanya tohmahan - Aman Palestin

Gambar kecil: Abdullah Zaik
Gambar kecil: Abdullah Zaik
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), Abdullah Zaik Abdul Rahman mendakwa punca utama badan bukan kerajaan (NGO) itu menjadi mangsa tohmahan sehingga diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tidak menyalurkan bantuan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia.

Sedangkan katanya, sejak ditubuhkan 18 tahun lalu segala bantuan disalurkan terus kepada rakyat di bumi berdarah itu tanpa melalui kedutaan.

"Isu duit sumbangan rakyat Malaysia tidak sampai kepada rakyat Palestin ini baru sahaja ditimbulkan. Ia datang daripada sumber Kedutaan Palestin di Malaysia dan kenyataan itu kemudiannya diambil (sehinggalah membawa kepada tindakan beku akaun).

"Ramai orang yang tidak faham dan percaya dengan tohmahan sehingga memberi tanggapan semberono dan memberi sangkaan buruk kepada NGO yang membuat kutipan untuk rakyat Palestin.

"Sebenarnya bukan NGO tidak hantar duit tetapi tidak menyalurkan bantuan melalui Kedutaan Palestin di Malaysia. Rakyat Malaysia sememangnya tidak mahu dan tidak setuju salur bantuan melalui kedutaan (Palestin di Malaysia)," katanya ketika sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Aman Palestin di Kajang pada malam Isnin.

Menurutnya, disebabkan tohmahan yang didakwa ditimbulkan pihak Kedutaan Palestin di Malaysia itu akhirnya membawa kepada pembekuan akaun tersebut.

"Mereka mengatakan duit tidak sampai. Sebenarnya isu tidak sampai itu kepada Kedutaan Palestin di Malaysia dan kemudiannya disambut oleh pihak yang ada kepentingan," katanya.

Tambah Abdullah Zaik, sepanjang 18 tahun beroperasi, Aman Palestin tidak pernah gagal menyalurkan bantuan yang disumbangkan rakyat Malaysia kepada negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

SPRM pada Rabu lalu dilapor membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain.

SPRM dalam satu kenyataannya berkata, tindakan itu diambil ekoran dakwaan pihak terbabit menyalah guna wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.

Ia susulan siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Kata kenyataan itu, jumlah keseluruhan wang sumbangan orang ramai kepada pihak terlibat adalah sebanyak RM15.86 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!