Tugas berat menanti di pintu masuk negara

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

LANGKAH kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Disember ini memberikan implikasi yang baik terutamanya hubungan dua hala melibatkan dua negara berkenaan.

Paling memberikan manfaat adalah sektor pelancongan kita yang pada hari ini kembali bernafas selepas negara berdepan kesulitan angkara Covid-19.

Pada tahun 2019, industri ini menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan jumlah pelancong antarabangsa yang mencapai lebih dari 26 juta orang.

Namun, Covid-19 menyebabkan industri pelancongan terjejas teruk di mana jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun 2020 turun sebanyak 83.4 peratus berbanding tahun 2019.

Bagaimanapun KDNK Pelancongan Langsung pada 2022 terus meningkat kepada RM47.9 bilion daripada RM11.6 bilion pada tahun sebelumnya selepas sempadan negara kembali dibuka.

Dan sudah pasti, keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari itu bakal merancakkan lagi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

Cuma apa yang menggusarkan adalah faktor pelancong tidak mendaftar keluar.

Melalui laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun lalu, lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Artikel Berkaitan:

Rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 juga pernah merekodkan, tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sambil menegaskan pengecualian visa 30 hari itu tertakluk kepada tapisan keselamatan.

Penjelasan Perdana Menteri itu sedikit sebanyak melegakan hati sesetengah pihak namun sudah pasti pasukan keselamatan yang bertugas di pintu masuk negara selepas ini akan berdepan tugas yang lebih berat dalam memastikan keselamatan negara tidak tergugat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!