'Budak Elektrik' rangkul emas di Junior Skills Malaysia 2023

Nur Saif Ammar dan bapanya merangkap jurulatih setelah memenangi Pingat Emas di Junior Skills Malaysia 2023 baru-baru ini. Nur Saif Ammar (kanan) beraksi di pertandingan peringkat akhir Junior Skills Malaysia 2023.
Nur Saif Ammar dan bapanya merangkap jurulatih setelah memenangi Pingat Emas di Junior Skills Malaysia 2023 baru-baru ini. Nur Saif Ammar (kanan) beraksi di pertandingan peringkat akhir Junior Skills Malaysia 2023.
A
A
A

USIA 12 tahun bukan penghalang buat seorang murid Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu, Negeri Sembilan menewaskan sembilan pencabar dari sekolah menengah dan kolej vokasional dalam bidang 'Electrical Installations'.

Nur Saif Ammar Noor Soudiqqin dinobatkan juara apabila merangkul pingat emas pertandingan akhir 'Junior Skills Malaysia 2023' dan membawa pulang wang tunai RM1,000 menerusi Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia pada Jumaat lalu.

Anak kedua kepada pasangan Noor Soudiqqin Ismail dan Nor Azireen Tumiran ini, mula menunjukkan minat dalam bidang elektrik sejak di prasekolah lagi dan bakat Nur Saif Ammar terus digilap mengikut perkembangan usianya sehingga mampu bersaing dengan pelajar sekolah menengah.

Noor Soudiqqin yang juga seorang pensyarah bidang Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Jelebu berkata, Nur Saif Ammar mula menunjukkan minat dalam bidang elektrik apabila sering melihat dia melatih pelajar-pelajar dalam pelbagai pertandingan, selain kerap mengikutnya melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik.

Nur Saif Ammar sewaktu pertandingan akhir Junior Skills Malaysia 2023.
Nur Saif Ammar sewaktu pertandingan akhir Junior Skills Malaysia 2023.

“Ammar sebenarnya bercita-cita menjadi seorang juruterbang, namun dia sentiasa menunjukkan minat dalam bidang elektrik.

"Justeru, saya menggunakan pengalaman selama 15 tahun sebagai pensyarah untuk menjadi jurulatihnya dan memberi pendedahan dengan menyertai pertandingan peringkat tertinggi untuk mengasah bakatnya.

"Alhamdulillah, penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil dan kami sekeluarga sangat bersyukur atas kejayaan ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai bapa, saya sentiasa menyokong apa jua cita-cita anak-anak saya, namun saya sering menekankan bahawa ilmu kemahiran ini penting untuk kehidupan di masa hadapan,” ujarnya.

Noor Soudiqqin berkata, anak lelakinya itu menyimpan hasrat menyertai pertandingan World Skills Asia di Abu Dhabi bermula 27 hingga 29 November nanti, namun tidak kesampaian kerana beberapa kekangan.

Walau bagaimanapun, anak muda ini masih menaruh harapan agar diberi peluang mewakili Malaysia ke pertandingan World Skills Competition di Lyon, Perancis pada tahun 2024.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri merupakan anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1991, bagi mengiktiraf individu yang cemerlang dalam bidang kemahiran atau pendidikan vokasional dan teknikal (TVET).

Untuk rekod, Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 diadakan di Shah Alam Convention Centre baru-baru ini dan di sempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!