Kelantan United optimis kekal Liga Super

Nazrulerwan. Foto Agensi
Nazrulerwan. Foto Agensi
A
A
A

KELANTAN United optimis untuk kekal dalam kancah Liga Super 2024/25 menjelang dua baki saingan musim ini yang dijadualkan berakhir pertengahan bulan depan.

Pemangku jurulatihnya Nazrulerwan Makmor berkata, bagi menggapai sasaran itu, pasukannya perlu melakar keputusan positif bagi mengelak tercicir sebarang mata.

Justeru para pemain bertekad mempamerkan aksi terbaik untuk merealisasikan sasaran tersebut, biarpun pasukan berdepan cabaran bagi menjalani latihan susulan musim hujan ketika ini.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk kekal dalam Liga Super bagi musim 2024/25. Berbaki dua aksi terakhir, Insya-ALLAH kita boleh dapat mata penuh atau sekurang-kurangnya kutip satu mata,” katanya pada sidang media selepas aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Dalam aksi itu, gol kemenangan KL City terhasil menerusi jaringan Matko Zirdum pada minit ke-21, disusuli sentuhan Paulo Josue pada minit ke-68 dan pemain gantian, Kipre Tchetche (m-78).

Berbaki dua perlawanan Kelantan United akan menentang Negeri Sembilan FC pada 1 Disember dan aksi terakhir berdepan Kelantan FC pada 16 Disember.

Dalam pada itu, Nazrulerwan menjelaskan pasukannya berdepan cabaran untuk menjalani latihan yang mantap susulan musim hujan ketika ini.

“Persiapan agak tergendala sebelum jumpa KL City sebab hujan di Kota Bharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh beberapa pemain utama yang tidak dapat diturunkan beliau optimis mereka sempat sembuh menjelang dua lagi aksi tersebut.

“Lima atau enam pemain utama tak dapat bermain sebab masalah kesihatan dan penggantungan. Saya rasa berbaki dua aksi Insya-ALLAH mereka boleh bermain,” katanya.

Setelah mengharungi 24 perlawanan, Kelantan ketika ini menghuni tangga ke-12 liga setelah mengutip 14 mata berkelebihan lima mata berbanding Kuching City FC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!