Remaja 13 tahun acu pisau pada pemandu e-hailing kerana duit

Tangkap layar menunjukkan seorang remaja bertindak mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.
Tangkap layar menunjukkan seorang remaja bertindak mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu e-hailing warga emas berdepan saat cemas diacu sebilah pisau dan cuba menikam oleh seorang remaja lelaki dalam kejadian di Taman Keladi, di sini pada Isnin.

Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cubaannya menggigit tangan remaja berusia 13 tahun tersebut menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian lebih kurang jam 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang tersebut meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 bagi membayar sewa rumah.

"Dia beritahu sekiranya tidak mempunyai wang, penumpang terpaksa menurunkannya di lokasi tersebut namun penumpang enggan dan minta pemandu bawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.

"Namun, apabila sampai di Bandar Sri Astana, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi menyebabkan warga emas itu terlebih dahulu meminta bayaran sebanyak RM18 dan terus perjalanan sebelum remaja itu melengah-lengahkan sehingga meminta melalui ke beberapa lorong kecil," katanya.

Remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat.
Remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat.

Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.

Artikel Berkaitan:

"Penumpang tersebut telah berikan wang RM20 namun semasa pemandu mahu memulangkan baki wang, dia telah mengacukan sebilah pisau ke dada kiri warga emas tersebut dan mahu merampas wang dari poket.

"Tindakan pantas warga emas tersebut berjaya merampas pisau serta gigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan saspek kemudian melarikan diri," katanya.

Jelasnya, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, remaja terbabit merupakan anak sulung dari empat beradik dan bukan dari keluarga yang berpecah.

"Punca suspek bertindak sedemikian kerana berasa marah dengan pengadu disebabkan kena maki dan cuba ambil semula wang bayaran tambang.

"Terdapat rakaman melalui 'dashcam' yang dipasang dalam kenderaan e-hailing berkenaan," katanya.

Video berdurasi satu minit 32 saat telah tular di laman sosial menunjukkan tindakan remaja lelaki yang mengacukan pisau kepada pemandu e-hailing sejak semalam.

Menurut Zaidy, laporan polis dibuat sekitar jam 8 malam dan remaja berkenaan telah ditahan dua jam kemudian.

Katanya, sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25 sentimeter yang dibawa remaja itu telah dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!