KWSP suami tidak termasuk sebagai harta sepencarian
RAMAI yang menganggap semua harta benda yang dimiliki pasangan mereka adalah harta sepencarian.
Hakikatnya, bukan semua berada dalam kategori tersebut. Ini termasuklah wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami!
Demikian perkongsian yang dibuat oleh peguam syarie terkemuka, Khairul Fahmi Ramli menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Menjelaskan lanjut, beliau kemudian memetik keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 yang menyebut, wang KWSP dan duit disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.
“Ini kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP, maka duit tadi merupakan miliknya,” katanya.
Sekalipun isteri dinamakan sebagai penama, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, penama bukanlah penerima hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang.
Mengertilah, penama KWSP yang diberikan oleh pencarum sebenarnya hanyalah sekadar pentadbir harta atau pemegang amanah kepada si mati.
“Tujuannya untuk memudahkan urusan waris menerima wang KWSP si mati dengan mudah dan cepat. Ini disebabkan untuk mendapatkan perintah pusaka, ia bukanlah satu urusan yang boleh selesai dalam tempoh satu hari, satu minggu mahupun sebulan.
“Sebagai penama, Muzakarah tersebut menjelaskan, mereka hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut faraid.
“Ini bermakna, sesiapa yang dinamakan sebagai penama KWSP, dia perlu memegang amanah untuk membahagikan duit peninggalan si mati mengikut bahagian faraid. Bukan miliknya seorang sahaja,” terangnya panjang lebar.
Menjawab satu soalan, Fahmi menjelaskan: “Pada pandangan saya, KWSP tidak boleh dibuat hibah kerana ia belum dikira milikan penuh hingga mencapai tempoh matang untuk seseorang pekerja itu terima.
“Namun, sekiranya ia berada dalam milikan penuh, contohnya dikeluarkan duit sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, maka ketika itu jika hendak dihibahkan kepada sesiapa pun, itu hak anda.
“Bagaimanapun, untuk membuat hibah bersyarat sekiranya kematian pencarum (yang kemudian) akan diterima oleh penerima hibah adalah tidak boleh.
“Ini sama sekali akan bertentangan dengan keputusan Muzakarah tersebut.”
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, peguam syarie itu menjelaskan, bahagian faraid seorang isteri selepas kematian pasangannya adalah satu perlapan sahaja sekiranya suami mempunyai anak.
“Semua harta yang dimiliki atas nama suami tersebut adalah dikira sebagai harta pusaka (tidak termasuk tinggalan KWSP suami),” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!