Warga asing seronok tinggal di Malaysia
SHAH ALAM - "Seronok tinggal di Malaysia, tapi saya tak mahu datang lagi." Itu reaksi warga Bangladesh Abdul Jabbar, 41, mengenai program Back For Good (B4G) yang dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia sejak 1 Ogos lalu.
Abdul Jabbar berkata, agak sukar untuk dia kembali dan bekerja semula di negara ini setelah pulang ke negara asalnya nanti.
Justeru menurut bapa kepada lima anak ini, dia tekad untuk bekerja meneruskan kehidupan bersama keluarga di kampung halamannya di Dhaka.
"Saya dan rakan-rakan selalu cari kerja. Kerja di sini bagus, gaji pun ok. Saya tinggal di Klang dengan kawan-kawan.
"Saya sudah ada di Malaysia setahun tujuh bulan. Saya tak mahu datang lagi dan mahu kerja di Bangladesh," katanya ketika ditemui di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini semalam.
Seorang lagi warga Bangladesh, Nobi 38, turut mengakui gembira tinggal di Malaysia dan mahu terus bekerja di negara ini namun, bapa satu anak itu mengakui agak sukar untuknya kembali bekerja di sini setelah kembali ke negara asalnya.
"Saya datang ke Malaysia bersama kawan-kawan. Sudah satu tahun saya dan kawan-kawan tinggal dan bekerja di sini.
"Saya cari kerja dan kerja banyak tempat. Sekarang kena balik Bangladesh 31 Disember. Saya pun tak tahu akan datang balik atau tidak," katanya.
Bagi Nur Muhammad, 37, dia mahu mencari kerja dan tinggal di Bangladesh bersama keluarga selepas ini.
Menurut bapa kepada empat anak ini, walaupun seronok tinggal di negara ini, tetapi dia sukar untuk mendapat kerja dan menyebabkannya bertukar-tukar kerja selama ini.
"Sudah lebih satu tahun saya datang Malaysia. Kerja di sini bagus-bagus dan gaji pun bagus. Tapi saya susah dapat kerja. Selepas ini, saya mahu bekerja dan tinggal bersama keluarga di Bangladesh," katanya.
Sementara itu seorang lagi warga Bangladesh, Giass Ddin, 41, berkata, dia tidak pasti sama ada dia dapat kembali atau tidak ke negara ini setelah pulang nanti.
Bagaimanapun, bapa kepada dua anak ini yang sudah tinggal selama 13 tahun di negara ini tetap berharap untuk terus bekerja dan tinggal di Malaysia.
"Saya akan balik 29 Disember ini dan saya tak tahu dapat balik ke Malaysia lagi," katanya.
Program B4G yang bermula 1 Ogos lalu dan berakhir 31 Dis ini di Semenanjung Malaysia bertujuan memberikan peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Mereka (warga asing) hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkannya kepada pejabat Imigresen untuk diproses selain perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan berkenaan.
Setakat 14 Disember lalu, seramai 138,901 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai program B4G untuk permohonan pulang ke negara asal dengan warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 53,328 diikuti Bangladesh (38,734), India (22,964), Myanmar (6,923) dan selebihnya dari negara lain.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Peluang kembali ke tanah air selepas berkelana di Malaysia'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!