Tiada cadangan gubal Enakmen Bekas Ketua Menteri

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak bercadang untuk menggubal Enakmen Bekas Ketua Menteri bagi memastikan 'Code of Conduct' bagi seseorang bekas Ketua Menteri selaras dengan Perlembagaan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, enakmen tersebut itu adalah bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri selama dua penggal sahaja.

"Setakat ini masih belum terdapat cadangan penggubalan Enakmen Bekas Ketua Menteri bagi memastikan 'Code of Conduct' seseorang bekas Ketua Menteri sebagaimana dinyatakan," katanya menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Selasa.

Khai Loon turut meminta penjelasan berhubung peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh bekas Ketua Menteri demi kepentingan negeri dan rakyat Pulau Pinang.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, sebagai seorang bekas Ketua Menteri, tanggungjawab yang perlu dimainkan adalah memberi sokongan penuh kepada pucuk pemerintahan semasa yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi.

"Ia termasuk menghormati segala keputusan, hala tuju dan juga corak pucuk pimpinan serta barisan kepimpinan semasa demi kepentingan rakyat serta kedaulatan negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

"Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan daripada mana-mana pihak yang disalurkan melalui saluran yang betul dan rasmi. la dianggap sebagai 'semak dan imbang' yang boleh memberi manfaat penambahbaikan ke atas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun kata Kon Yeow, sebarang usaha untuk campur tangan dan mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan perlu dielakkan kerana ia akan merencatkan segala usaha dan perancangan kerajaan demi kebaikan rakyat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam soalan tambahannya, Khai Loon turut memohon penjelasan berhubung peranan seseorang Ketua Menteri selepas tamat perkhidmatan kelak.

Kon Yeow berkata, mengikut Perlembagaan negeri, tiada halangan bagi seseorang itu untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Usul yang dibangkitkan sama ada bekas Ketua Menteri mempunyai peranan atau tidak, tidak menjawat jawatan itu tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan negeri. Peruntukan Perlembagaan negeri mengehadkan hanya dua penggal sahaja untuk seseorang itu menjadi Ketua Menteri.

"Ia berbeza dengan Perlembagaan negara kerana ia tidak mempunyai halangan untuk seseorang bekas Perdana Menteri itu menjawat jawatan itu sekali lagi.

"Ketika saya duduk dalam Dewan Rakyat pun, di depan saya ada beberapa bekas Perdana Menteri antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang lagi," katanya.

Tambahnya, ramai bekas Perdana Menteri yang masih menunaikan tanggungjawab masing-masing dan mereka masih boleh meneruskan karier politik berdasarkan kedudukan semasa.

Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Oh Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) memohon penjelasan berhubung keistimewaan yang akan dinikmati oleh bekas Ketua Menteri.

Kon Yeow berkata, mengikut Akta Saraan, bekas Ketua Menteri layak menerima pembayaran Akta Saraan tertakluk kepada perkhidmatan dan tempoh perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, gaji Ketua Menteri Pulau Pinang adalah RM14,000 sementara gaji barisan Exco pula RM12,000.

Kata beliau, gaji Ketua Menteri tidak pernah dikaji semula semenjak 20 tahun lalu sementara kali terakhir gaji Exco dikaji semula ialah 10 tahun yang lepas.

"Beza gaji Ketua Menteri dan Exco hanya RM2,000 tetapi tanggungjawab berbeza," katanya.