Rasuah 'penyakit besar', kerajaan Sabah tidak kompromi - Hajiji
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pendirian tegas kerajaan Sabah dalam memerangi rasuah bagi mengelak kejadian yang berlaku di sebuah jabatan di negeri ini tidak berulang.
Menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sama sekali tidak berkompromi mengenai kegiatan rasuah.
"Untuk makluman, kerajaan negeri berpendirian tegas dalam memerangi rasuah termasuklah di Jabatan Air seperti yang disebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, kita tidak berkompromi sama sekali tentang rasuah ini.
"Rasuah telah berlaku dan sekarang ini dalam pertimbangan mahkamah dan ini menjadi pengajaran bukan saja kepada Jabatan Air tetapi kepada semua penjawat awam termasuk kepimpinan kita di Sabah," katanya di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung langkah kerajaan mengenai penyakit rasuah membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Hajiji turut mengakui bahawa rasuah adalah satu penyakit yang besar dan jika tidak ditanggani ia akan menjadi satu masalah dan halangan untuk kerajaan menyelesaikan masalah lain seperti bekalan air.
"Ada yang saya dengar tangki atau air dijual dan sebagainya. Kerajaan mengambil serius perkara ini, saya telah meminta pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyiasat perkara ini.
"Kalau betul, kita mesti ambil tindakan. Ini satu masalah atau penyakit paling besar jadi kita tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan dengan rasuah kerana kita tahu, penyakit yang besar kalau tidak dibendung ia akan menghalang apa juga pembangunan atau program kerajaan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!