Pengecualian visa beri ruang Terengganu terima pelancong musim tengkujuh

Pemandangan Tasik Kenyir yang terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu merupakan kawasan pelancongan terkenal di Terengganu.
Pemandangan Tasik Kenyir yang terletak dalam Parlimen Hulu Terengganu merupakan kawasan pelancongan terkenal di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini memberi peluang untuk Terengganu menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengumuman itu dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.

Razali
Razali

Jelas beliau, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri tersebut pada bila-bila masa.

"Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.

"Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong dari negeri tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.

"Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.

"Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ia amat mengujakan para pemancing," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia.

Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!