PIPC: Johor sasar pelaburan tambahan RM60 bilion fasa ketiga

Ting Han
Ting Han
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak RM60 bilion pelaburan tambahan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang disasarkan kerajaan Johor bagi pembangunan fasa ketiga.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, terdapat tujuh projek pelbagai dalam perancangan yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh pembangunan fasa ketiga PIPC.

Antaranya pembinaan ladang solar, kilang penapisan bio dan fasiliti yang menghasilkan produk berkaitan nitro.

"Bagi fasa ketiga pembangunan PIPC, ia akan meliputi tahun 2026 hingga 2031, selari seperti yang disasarkan dalam Pelan Induk PIPC.

"Projek-projek ini masih dalam kajian kemungkinan (kebolehlaksanaan). Masih awal lagi.

"Projek-projek tersebut berkemungkinan (akan direalisasikan) dalam fasa 2026 hingga 2030 kerana seperti projek kimia dan petrokimia, ia melibatkan perbelanjaan modal yang sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ting Han memberitahu, pembangunan PIPC yang kini berada dalam pertengahan fasa kedua iaitu 2020 hingga 2025.

"Pembangunan fasa kedua, PIPC telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion, iaitu 90 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan dalam pelan induk tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 7,400 peluang pekerjaan telah diwujudkan di kawasan Pengerang dalam tempoh fasa pertengahan dan bagi fasa ketiga, kita harap boleh tambah lagi 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan PIPC, yang merupakan kawasan industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.

Kawasan PIPC menempatkan kemudahan seperti loji penapisan minyak, loji penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki-tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum cecair, loji penggasan semula serta prasarana dan kemudahan sokongan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!