Kecoh Bung Moktar minta ADUN Kuamut 'jangan temberang'

Bung Moktar ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
Bung Moktar ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung pada Selasa kecoh seketika semasa giliran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah menyampaikan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2024.

Kekecohan selama kira-kira tiga minit itu bermula apabila beliau mengambil peluang dalam perbahasannya untuk menjawab ADUN Lamag Datuk Seri Bung Mokhtar yang telah menyentuh kawasannya dalam perbahasan pada Isnin.

Bung Moktar yang ketika itu berada di luar dewan segera masuk sebelum meminta laluan untuk mencelah bagi mempertahankan dirinya.

Cubaan pertama Bung Moktar untuk mencelah tidak dibenarkan Masiung kerana masa yang diberikan untuk sesi menyampaikan ucapan hanya 12 minit tetapi keadaan semakin 'panas' menyebabkan beliau bangun untuk mempertahankan diri.

"Saya tidak pernah cakap peribadi ya. Sebab saya ini matang punya orang, bukan tidak faham pentadbiran kerajaan Persekutuan.

"Saya ini lebih sudah matang dari segala-galanya. Saya tahu sejarah Yang Berhormat. Yang Berhormat masuk politik melalui mana? Melalui saya, saya yang bawa. Jangan cakap banyak, jangan temberang. Orang lain Yang Berhormat boleh terberang," tempelaknya.

Sementara itu, Timbalan Speaker Datuk Richard Yong Ke Wong menegur supaya Masiung tidak menyentuh perkara peribadi dalam perbahasannya.

Namun Masiung menjelaskan bahawa dia perli menjawab apa yang dikatakan Bung Moktar kerana beliau telah menyebut kawasannya di Kuamut.

Artikel Berkaitan:

"Semalam pun dia (Bung Moktar sentuh) peribadi juga, ADUN Kuamut dia cakap.

"Semalam ADUN Lamag cakap, apa Kuamut buat. Datuk Speaker, dia tidak tahu apa yang saya buat di Kuamut, sebab satu penggal baru satu kali dia masuk kawasan, dia tidak tahu," katanya.

Menjelaskan keadaan itu, Bung Moktar sekali lagi mencelah bahawa Masiung mendakwa projek di Kuamut adalah hasil kerjanya.

"Yang Berhormat, apa projek saya bawa di kawasan dia 'claim' dia bawa, itu saya cakap di sini supaya temberangnya habis," katanya.

Pertikaman lidah mereka akhirnya terlerai selepas Masiung meminta Bung Moktar tidak meneruskan kekecohan itu sebaliknya beliau mahu meneruskan penggulungan ucapan bahasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!