Sirul dipakaikan peranti EMD
KUALA LUMPUR - Bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dilepaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia dipakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD) yang membolehkan pihak berkuasa memantau keberadaannya di negara itu.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata, bahawa pemakaian EMD serta sekatan pergerakan antara syarat dalam Akta Migrasi dan Peraturan Migrasi yang dipinda baru-baru ini.
Tambah laporan itu, individu yang disabit bersalah dengan jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan pedofilia wajib memakai gelang EMD itu selain perlu mematuhi sekatan pergerakan ketat serta 'keperluan pelaporan dan penglibatan'.
Sirul Azhar, antara 140 tahanan bukan warga Australia yang dilepaskan selepas Mahkamah Tinggi di negara itu pada 8 November lalu memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had menyalahi undang-undang.
Selepas dibebaskan, Sirul Azhar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil menyatakan berbahaya kepadanya jika kembali ke Malaysia.
Keputusan Sirul Azhar untuk kekal tinggal di Australia menyukarkan pihak berkuasa Malaysia untuk mengekstradisi beliau ke negara ini, sekali gus menyiasat dakwaannya menerima RM1 juta untuk menutup mulut tidak boleh dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!