Isteri maut, suami dan bayi parah kereta rempuh pagar simen
MACHANG - Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya cedera parah selepas kereta yang dinaiki terbabas dalam kemalangan di Simpang Masjid Nurul Abidin Pangkal Changgong di sini petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 itu, mangsa Normaizatul Nazirah Rahamat, 21, bersama suami, Muhammad Halimiy Hakim Ismail, 20, dan anak mereka, Muhammad Hasbullah Muhammad Halimiy Hakim berusia lapan bulan dikatakan dalam perjalanan dari arah Kampung Mengketil menghala ke Machang.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi, kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah jalan bertentangan lalu melanggar pagar simen di tepi jalan itu.
Menurutnya, mangsa yang beralamat di Kampung Mengketil dan bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak ke tempat duduk penumpang belakang.
"Wanita itu mengalami kecederaan parah di anggota badan manakala suami serta anak mereka tersepit di bahagian tengah di antara pemandu dan penumpang.
"Ketiga-tiga mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Adli memberitahu, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua mangsa lagi dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Ibrahim Usman di talian 010-9069696 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, 09-9751222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!