Agong, Putera Albert II lawat pusat konservasi Harimau Malaya, gajah
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan ketibaan tetamu kenamaan diraja itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II terdahulu melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) yang mula beroperasi sejak Februari 2022 yang kini menempatkan lima ekor Harimau Malaya termasuk dua yang diselamatkan daripada konflik harimau-manusia.
Harimau Malaya itu ialah Atan, berusia empat tahun yang ditangkap di Kerteh, Terengganu dan Bihai yang berumur empat tahun setengah yang ditemukan di Gua Musang, Kelantan.
MTCC yang beroperasi di kawasan seluas 80 hektar itu juga menjadi 'lokasi perlindungan' kepada tiga lagi Harimau Malaya yang diterima daripada tiga zoo di Malaysia.
Usai lawatan di MTCC, Seri Paduka dan Putera Albert II seterusnya menuju ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah (PKGKG) yang terletak kira-kira lapan kilometer, dengan lawatan bermula di Galeri Warisan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di situ.
Sementara itu, Putera Albert II ketika menandatangani Buku Pelawat PKGKG selepas lawatan itu menzahirkan penghargaan atas usaha yang dilakukan MTCC dan PKGKG, sambil menambah bahawa langkah itu 'sangat penting'.
"Ribuan terima kasih atas kerja-kerja berharga dalam usaha perlindungan biodiversiti yang diterajui oleh MTCC dan PKGKG. Gajah dan Harimau Malaya patut diberi perhatian penuh untuk memastikan spesies ini tidak pupus," coret baginda dalam buku tersebut.
PKGKG menempatkan 25 ekor gajah dan gajah yang membuat penampilan di hadapan tetamu diraja ialah anak gajah betina berusia enam tahun bernama Elly yang 'sinonim' dengan PKGKG kerana menggunakan kaki palsu pada kaki kanan hadapannya, akibat terkena jerat dawai pemburu haram di Jeli, Kelantan.
Turut dipersembahkan ialah pertunjukan berinformatif oleh tujuh ekor gajah iaitu Kasturi, Pian, Abot, Alam, Rambai, Timor dan Lasah yang masing-masing 'ditemani' dua penjaga termasuk gembala mereka.
Seterusnya, Al-Sutan Abdullah dan Putera Albert II juga berkenan memberi makan serta menyaksikan gajah bermain air di anak sungai yang terdapat di pusat konservasi itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!