Siti Nordiana ‘hilang suara’, kes saman ditangguhkan

Prosiding kes saman Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk dua artis iaitu Lan Solo dan Syura, atas dakwaan memfitnah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan selepas penyanyi itu ‘hilang suara’.
Prosiding kes saman Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk dua artis iaitu Lan Solo dan Syura, atas dakwaan memfitnah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan selepas penyanyi itu ‘hilang suara’.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Prosiding kes saman Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk dua artis iaitu Lan Solo dan Syura, atas dakwaan memfitnah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan selepas penyanyi itu ‘hilang suara’.

Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan kemudiannya menetapkan prosiding bersambung pada Rabu, selepas peguam, Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana memberitahu, anak guamnya mengalami kesukaran untuk bercakap.

Sementara itu, Abang Azlan berkata, Siti Nordiana atau dikenali Nana, 39, selaku plaintif, mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan pagi Selasa, namun bersedia untuk memberi keterangan pada Rabu.

“Siti Nordiana merupakan saksi terakhir pihak plaintif dan mahkamah membenarkan penangguhan sehingga esok,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Selain Abang Azlan, Siti Nordiana turut diwakili peguam, Ahmad Syaiful Bakri Mohamed.

Pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana selaku plaintif, memfailkan saman menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38; isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 38; Zuraidah Badron, 37, atau lebih dikenali Syura; pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 43, masing-masing defendan pertama hingga kelima.

Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sam dan Razidah untuk memindahkan prosiding kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding pagi Selasa, mahkamah turut mendengar keterangan seorang ejen penjenamaan selebriti yang pernah berkolaborasi dengan Siti Nordiana dalam beberapa projek.

Artikel Berkaitan:

Saksi plaintif, Pengarah G Talent Management Sdn Bhd, A Geetharani, 39, berkata, Siti Nordiana dikategorikan sebagai selebriti kelas 'A' dan terlibat dalam tiga projek komersial sebagai duta yang dikendalikan syarikatnya.

Beliau berkata, demi menjaga reputasi syarikat dan jenamanya, sebarang berita buruk membabitkan selebriti, ia akan memberi kesan kepada pihak penaja.

“Gosip negatif akan menjejaskan peluang selebriti itu untuk memperbaharui atau mendapat kontrak lain,” katanya menerusi pernyataan saksi.

Sebelum ini, dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila telah disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Peserta All Stars Gegar Vaganza ini mendakwa, fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan seorang artis yang bersih dan dihormati, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasinya telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Justeru dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!