Terengganu disaran pantau ketat penganjuran acara hiburan
KUALA TERENGGANU - Penganjuran acara hiburan di Terengganu perlu melalui proses tapisan dan pemantauan ketat bagi mengekang penularan budaya hedonisme terutama melibatkan golongan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ia bagi memastikan setiap aktiviti dan kegiatan di negeri ini bertepatan dan tidak melanggar syariat agama Islam.
"Penganjuran acara hiburan melampau dibimbangi akan membawa kepada masalah sosial yang lain seperti pergaulan bebas, penagihan dadah dan aktiviti maksiat yang lain.
"Rakyat terutama anak muda perlu dibentuk dalam lingkungan sosial yang baik, pengawasan yang baik termasuk dari kerajaan bukan sahaja ibu bapa," katanya ketika perbahasan Belanjawan Terengganu 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, kerajaan negeri perlu mengetatkan penguatkuasaan bagi membendung berlakunya tindakan di luar kawalan yang membawa kepada permasalahan sosial.
Jelas beliau, kerajaan negeri juga perlu memperkasakan pembudayaan masjid sebagai medan ilmu dan merealisasikan konsep pelancongan pendidikan (edu-tourism).
"Masjid biarlah ada inap desa, banyak program-program ilmu untuk menarik kedatangan pelancong domestik secara konsisten agar impaknya akan dirasai oleh penduduk setempat terutama usahawan kecil-kecilan," katanya.
Dalam pada itu, katannya, kerajaan negeri juga disarankan untuk mengadakan kempen besar-besaran secara lebih sistematik bagi memastikan semua anak muda dapat menguasai al-Quran dengan baik.
Ujarnya, berdasarkan keadaan semasa, masih ramai anak muda beragama Islam yang tidak menguasai asas bacaan al-Quran yang dikhuatiri menyebabkan mereka tiada benteng yang kukuh dalam menepis anasir-anasir luar.
"Peranan anak muda sangat penting kerana mereka generasi pemimpin akan datang, kalau kita masuk ke kampung-kampung, ke akar umbi, kita lihat rupanya ramai lagi anak muda yang tak boleh baca al-Quran.
"Oleh itu, perlu satu usaha yang serius dan sistem terancang dibuat untuk perkasakan anak muda dengan program-program yang memberi impak positif kepada agama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!