Ketahanan siber penting dalam dunia digital
KUALA LUMPUR - Ketahanan siber penting dalam dunia digital hari ini kerana ancaman siber merupakan risiko yang berterusan dan sentiasa berubah.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, ketahanan siber bukan sahaja tertumpu kepada langkah pencegahan dan pertahanan terhadap kemungkinan serangan.
“Tetapi juga keupayaan organisasi untuk menyesuaikan diri, serta boleh beroperasi kembali apabila berlaku ‘breach’ atau pelanggaran.
“Justeru, sudah tiba masanya untuk pemain industri bekerjasama untuk berkongsi pandangan dan strategi serta sentiasa mencari penyelesaian bagi mengukuhkan keselamatan organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Perasmian PNB Planet Cyber 2023 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Selasa.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
PNB Planet Cyber 2023 menampilkan pelbagai pengisian antaranya perbincangan panel dan pameran yang memberi fokus kepada pelbagai topik seperti inovasi teknologi dan mengurus risiko siber, penipuan atau jenayah siber dan persediaan menerima untuk ancaman serta mewujudkan ketahanan siber.
Acara tersebut disertai 300 peserta dan 10 pempamer, antaranya termasuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Heitech Padu Berhad, Microsoft, ASK, Mandiant-Google, E-Lock Corporation Sdn Bhd, PwC Malaysia, Bluesify Solutions Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Imperva, Jabatan Maklumat & Keselamatan Siber PNB dan Deloitte.
Sementara itu, seorang lagi panelis, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman, Superintenden Madhavan Nair berkata, sebanyak 135,982 kes penipuan jenayah siber seluruh negara direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2018 hingga 2023.
Menurut Madhavan, kes yang direkodkan melibatkan aktiviti jenayah penipuan meliputi e-komunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman dan pelaburan.
Jelasnya, jumlah penipuan tertinggi yang direkodkan tahun ini adalah melibatkan e-dagang dengan sebanyak 10,049 kes berbanding 9,258 kes tahun lalu.
“Trend peningkatan terhadap jenayah e-dagang bermula sejak 2021 apabila sepanjang tahun itu sejumlah 9,545 kes e-dagang dicatatkan dengan kerugian RM73 juta.
“Jumlah ini dijangka terus meningkat pada tahun seterusnya berikutan pertambahan platform e-dagang yang semakin popular dan menjadi pilihan orang ramai ketika ini,” katanya.
Madhavan berkata, analisis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menunjukkan bilangan kes purata tahunan hampir mencecah 10,000 kes, manakala jumlah kerugian menunjukkan peningkatan ketara saban tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!