Syarikat Lubnan gagal peroleh penghakiman terus terhadap Rosmah

Rosmah - Foto Fail Bernama
Rosmah - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Datin Seri Rosmah Mansor dalam saman yang difailkan syarikat itu bagi mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta.

Peguam Rajivan Nambiar, yang mewakili Rosmah sebagai defendan, berkata Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan Global Royalty dengan kos sebanyak RM7,500.

"Mahkamah memutuskan bahawa ini bukan kes yang sesuai dan wajar untuk membuat penghakiman terus kerana terdapat isu yang perlu dibangkitkan semasa perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Penghakiman terus adalah permohonan yang difailkan pihak yang membuat tuntutan di mahkamah untuk mendapatkan penghakiman tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terbabit atau undang-undang tidak dipertikaikan.

Rajivan berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu untuk jaminan kos terhadap Royalty Global dengan kos RM5,000.

"Jaminan untuk kos ditetapkan pada RM75,000 dengan kebebasan untuk memohon untuk mengubah jumlah sebelum perbicaraan sebaik sahaja pihak bertukar dokumen atau sekiranya pakar akan dipanggil.

"Kos RM75,000 perlu dibayar oleh Global Royalty kepada mahkamah dalam tempoh sebulan dari hari ini,” kata Rajivan, yang dibantu peguam Mohd Reza Rahim.

Rajivan berkata, permohonan Rosmah untuk prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan Malaysia telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 Disember.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty sebagai plaintif mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta, namun saman itu ditarik balik pada 2019. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!