Hebatnya dakwah Tunku
AGAMA memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi manusia sekaligus melahirkan sebuah masyarakat terunggul sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam menyebarluaskan ajaran Islam.
Baginda berjaya mengubah orang Arab jahiliah yang terkenal dengan keburukan akhlak serta tiada batas kesopanan dan kemanusiaan melalui teladan yang baik dan akhlak Islam yang mulia.
Ketika zaman jahiliah, kedudukan wanita dalam masyarakat sangat rendah. Fungsi wanita ketika itu hanyalah sebagai pemuas hawa nafsu lelaki dan kegemaran mereka hanyalah menghiasi diri agar dikehendaki oleh lelaki.
Malah, masyarakat ketika itu juga turut membunuh bayi perempuan. Kedatangan Islam telah berjaya mengangkat darjat dan kemuliaan golongan wanita. Maruah dan kebajikan wanita turut terpelihara.
Islam agama yang dibawa oleh Rasulullah untuk mengajarkan kehidupan kepada masyarakat agar menjadi khalifah yang terbaik di muka bumi ini. Kejayaan Nabi Muhammad SAW menyebarkan agama Islam sehingga ia sampai ke seluruh pelusuk dunia adalah suatu pencapaian yang cukup hebat dan luar biasa.
Di Malaysia, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, merupakan salah seorang tokoh dakwah yang tidak dapat dinafikan lagi kehebatannya.
Tunku merupakan pengasas Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada tahun 1960. Sungguhpun sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri, Tunku sentiasa memberi perhatian berat terhadap perjalanan Perkim yang aktif dalam kegiatan dakwah dan kebajikan, tanpa mengira kaum dan agama.
Syiar Islam
Selain itu, YTM Tunku turut mengasaskan pertubuhan Regional Islamic Dakwah Council for Southeast Asia and the Pacific (RISEAP) pada tahun 1980 bagi mengembangkan lagi syiar Islam di negara-negara Asia Pasifik. Antara 17 negara yang menganggotai RISEAP ketika penubuhannya melalui NGO Islam masing-masing ialah Malaysia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Thailand, Filipina, Brunei, Singapura, Indonesia, Papua New Guinea, New Caledonia, Australia, Fiji dan New Zealand.
Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua Perkim, dalam ucapan penangguhan mesyuarat agung tahunan Perkim yang ke-58 pada 30 November 2019, merakamkan ucapan maaf kepada semua perwakilan yang hadir atas kegagalan beliau menyampaikan dakwah Islam kepada pemimpin bukan Islam yang berada dalam kabinet Malaysia selama beliau menjadi Perdana Menteri.
Dr Mahathir mengakui kehebatan Tunku Abdul Rahman berdakwah dengan penuh hikmah sehingga ada pemimpin Cina yang juga salah seorang pengasas MCA, memeluk Islam pada tahun 1961, iaitu Tun Omar Ong Yoke Lin yang telah dilantik sebagai Menteri Pos dan Telekom dalam Kabinet pertama pada tahun 1955.
Ketua Menteri Sabah yang pertama, Donald Aloysius Marmaduke Stephens, juga telah memeluk agama Islam pada tahun 1971. Beliau dikenali sebagai Tun Mohammad Fuad Stephens setelah pengIslamannya.
“Berdakwahlah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)
Seruan dakwah secara berhikmah inilah juga yang menyerlahkan kehebatan Tunku dalam menyampaikan risalah Islam., Tiada Perdana Menteri Malaysia lain yang dapat menyaingi Tunku dalam hal dakwah.
Selain menubuhkan Perkim dan RISEAP, Tunku juga menimbulkan idea penyatuan negara Islam melalui Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan beliau telah menjadi Setiausaha Kehormat OIC yang pertama.
Walaupun Tunku tiada lagi bersama kita, kerja-kerja mulia beliau sebenarnya masih diteruskan oleh anakanda beliau, YBM Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Datuk Hajah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang kini merupakan Ketua Wanita Perkim dan pengasas Yayasan Noor Al Syakur (YANAS) yang banyak menabur bakti kepada rakyat Kelantan sejak tahun 2015.
Semoga sinar dakwah akan terus menyinar di bumi Malaysia ini. Kata orang, yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Yang patah, akan tumbuh tunas baru. Yang hilang, pasti akan ada pengganti walaupun tidak sama dan serupa.
*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!