Peniaga kemas barang tempat tinggi, sedia hadapi kemungkinan banjir

Nur Asilah menunjukkan arang yang diletakkan di atas para bagi mengelakkan ditenggelami air.
Nur Asilah menunjukkan arang yang diletakkan di atas para bagi mengelakkan ditenggelami air.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga di Jalan Pasir Hor di sini mula membuat persiapan menghadapi banjir susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca hujan berterusan (buruk) di Kelantan dan Terengganu.

Peniaga akok, Nur Asilah Mohd Yusoff, 28, berkata, dia sudah mengemas peralatan perniagaannya dengan meletakkannya di tempat tinggi.

Menurutnya, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan arang di atas para bagi mengelakkan ditenggelami air.

"Kami sudah mengangkat semua peralatan perniagaan termasuk arang kerana ia tidak boleh basah untuk membakar akok," katanya ketika ditemui di kedainya pada Selasa.

Tambah Nur Asilah, kedainya pernah ditutup selama sehari minggu lalu kerana dilanda banjir kilat.

"Jadi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak mengalami kerugian," katanya.

Nur Asilah biasanya memesan 25 guni arang yang akan dihabiskan dalam tempoh beberapa hari untuk membakar akok.

MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan (buruk) di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh manakala Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai pula diramalkan hujan berterusan (waspada) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tukang jahit, Hafizuddin Ashaari, 27, pula berkata, kawasan kedainya juga mudah dinaiki air mungkin disebabkan keadaan longkang tersumbat.

Hafizuddin
Hafizuddin

Kata Hafizuddin, Sabtu lalu kawasan kedainya digenangi air kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat selama beberapa hari.

"Sebelum ini, kedai saya terpaksa ditutup kira-kira tiga hari dan terpaksa membawa pulang pakaian yang dijahit," katanya.

Hafizuddin juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan barang jahitan dan pakaian yang dijual di tempat tinggi.

Sementara itu, sehingga jam 6 petang Selasa, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini membabitkan dua daerah iaitu Pasir Mas dan Bachok.

Di Bachok, seramai 133 mangsa berlindung di dua PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat manakala 309 mangsa berada di PPS SK Tok Deh dan SK Kedai Tanjong di Pasir Mas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!