Aman Palestin perlu lebih matang, beri ruang SPRM siasat - MCW
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang untuk melakukan siasatan tanpa gangguan berhubung isu penyalahgunaan sumbangan orang ramai oleh Aman Palestin.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius berhubung dakwaan wujud konspirasi berhubung isu tersebut, malah ia tidak sepatutnya berlaku.
“Pihak Aman Palestin yang mendakwa bahawa mereka adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah 18 tahun memperjuangkan hak kemanusian sewajar lebih matang dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada 22 November, SPRM dilapor membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain.
Aman Palestin memberi tempoh tiga hari bermula Isnin untuk SPRM menyahbekukan akaun badan itu yang dibekukan sejak 22 November lalu.
Tindakan SPRM itu susulan dakwaan pihak terbabit menyalah guna wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.
Sementara itu, ujar Jais, pihaknya percaya bahawa SPRM menjalankan tugas berdasarkan fakta dan data.
“SPRM juga sudah bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah, justifikasi tindakan pembekuan 41 aset Aman Palestin Berhad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.
“MCW secara tegas dan tanpa prejudis meminta pihak Aman Palestin bersikap lebih profesional serta memberikan kerjasama kepada pihak SPRM melakukan siasatan tanpa gangguan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!