Tamat kontrak secara salah, Arul Kanda tuntut RM56.7 juta
KUALA LUMPUR - Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memfailkan tuntutan balas bagi menuntut RM56.7 juta atas dakwaan syarikat itu menamatkan kontraknya secara salah.
Arul Kanda selaku defendan pertama memfailkan tuntutan balas terhadap saman yang dikemukakan 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 November lepas melalui Tetuan Sanjay Mohan.
Berdasarkan dokumen diperoleh media, Arul Kanda memohon agar syarikat itu membayar RM202,600 bagi kehilangan pendapatan, bonus RM2.5 juta, ganti rugi khas RM54 juta (kehilangan pendapatan dari Jun 2019 hingga 2036) selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.
Menurut Arul Kanda, kontrak pekerjaannya telah tamat pada 31 Disember 2017 namun selepas perbincangan dibuat, Lembaga Pengarah 1MDB telah bersetuju untuk melanjutkan kontraknya dan perjanjian baharu telah ditandatangani pada 23 Februari 2018.
Arul Kanda mendakwa, menurut Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan, 1MDB bersetuju untuk membayar gaji sebanyak RM101,300 sebulan sehingga 30 Jun 2018 dan bersetuju membayar kepada beliau bonus ex-gratia sebanyak RM2.5 juta selain membayar gajinya bagi bulan Januari hingga April 2018 berjumlah RM405,200.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng telah membuat pelbagai dakwaan antara lainnya menyatakan bahawa bekas CEO itu tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dalam satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal berita pada 24 Mei 2018.
Arul Kanda mendakwa pada 25 Jun 2018, 1MDB tanpa sebarang asas telah menamatkan kontrak kerjanya secara salah dan tiada siasatan yang menyimpulkan bahawa beliau telah bertindak menentang kepentingan syarikat itu.
Bekas CEO 1MDB itu juga mendakwa penamatan kontrak kerjanya dibuat oleh 1MDB tanpa terdapat sebarang bukti kesalahan bagi mengelak syarikat itu daripada membuat pembayaran gaji bulan Mei dan Jun 2018 berjumlah RM202,600 dan baki bonus ex-gratia sebanyak RM2.5 juta.
Selain itu, Arul Kanda turut memfailkan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaannya dalam saman yang difailkan oleh 1MDB itu dan pengurusan kes ditetapkan pada 4 Disember ini.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Arul Kanda dan bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion (RM8.55 bilion) berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion (RM16.3 bilion) yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion (RM5.9 bilion), yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Arul Kanda dan Mohd Irwan Serigar untuk membatalkan saman AS$6.59 bilion (RM30.78 bilion) yang difailkan syarikat itu terhadap mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!