Antonsen pilih 'panas badan' di ABM

Antonsen
Antonsen
A
A
A

PEMAIN perseorangan Denmark, Anders Antonsen memilih untuk berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebagai persediaan selepas layak ke Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China, bermula 13 hingga 17 Disember ini.

Malah, pemain berusia 26 tahun yang menduduki ranking ke-11 dunia itu, terpaksa mengubah rancangan asalnya untuk berlepas ke Melbourne, Australia, sejurus tamat Masters China 2023 di Shenzen minggu lepas, bagi membuat persediaan memulakan musim baharu 2024.

Dengan perjalanan yang panjang, pemain kelahiran Aarhus itu juga tidak bercadang untuk kembali ke Denmark sekali gus menghindari musim sejuk ketika ini dengan suhu semasa mencecah -6 darjah Celsius di Copenhagen dan menikmati cuaca panas di sini.

“Betul, 100 peratus saya mahu mengelak musim sejuk di Denmark kerana keadaannya sangat mencabar, sejuk, kelabu (gelap) dan berangin. Lagipun, saya pernah berlatih beberapa kali di sini (ABM) untuk kejohanan dan kemudahan yang ada memang baik.

“Jadi, sebaik saja slot ke Final Jelajah Dunia disahkan, saya perlukan tempat untuk berlatih dan serta merta saya teringatkan Kuala Lumpur. Saya hubungi jurulatih dan mereka benarkan saya berada di sini untuk beberapa minggu, saya amat bersyukur dan berterima kasih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memulakan sesi latihan pada Selasa.

Bagaimanapun, juara Jelajah Dunia 2020 itu mengakui beliau terpaksa mengubah sedikit rutinnya untuk datang awal kerana kebanyakan pemain kebangsaan di sini memulakan latihan awal pagi, dengan sebahagiannya seawal jam 6.45 pagi.

Hanya lapan pemain di ranking teratas Jelajah Dunia dapat bermain dalam Final Jelajah Dunia BWF yang menawarkan hadiah lumayan wang tunai AS$2 juta (kira-kira RM9.3 juta).

Antonsen berkata beliau akan memulakan rancangan latihannya di Melbourne sebaik berakhirnya Final Jelajah Dunia, bagi persediaan permulaan musim 2024 dengan Terbuka Malaysia di Axiata Arena dari 9 hingga 14 Januari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemenang Kejohanan Dunia tiga kali itu berkata, jika masa mengizinkan, beliau ingin bertemu rakan baiknya pemain nombor satu Malaysia, Lee Zii Jia, selain berjalan-jalan di bandar raya Kuala Lumpur.

“Saya pasti beliau juga sibuk berlatih, tetapi kami ada berhubung dan beliau membantu saya menyelesaikan beberapa perkara.

“Saya sudah beberapa kali datang ke Kuala Lumpur dan saya juga tahu beberapa kafe dan tempat minum kopi yang boleh saya kunjungi semula. Bagaimanapun, saya mungkin agak sibuk dengan latihan...ini bukan bercuti tetapi saya tidak sabar berjalan-jalan kerana sudah berada di sini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!