Palestin, leburnya nilai kemanusiaan

Isu di Palestin pada asasnya bukan sekadar terkait dengan isu agama bahkan melibatkan isu kemanusiaan. - Foto AFP
Isu di Palestin pada asasnya bukan sekadar terkait dengan isu agama bahkan melibatkan isu kemanusiaan. - Foto AFP
A
A
A

PALESTIN adalah sebuah negara yang dimuliakan ALLAH SWT. Ia menjadi lokasi ketiga yang istimewa bagi umat Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, bahkan Masjid Aqsa adalah kiblat pertama bagi orang Islam sebelum ditukar ke Baitillah di Makkah.

Sebelum penjajahan British dan Israel, negara Palestin berada di bawah naungan kerajaan Khalifah Uthmaniyyah.

Orang Yahudi menakluk kota ini untuk mewujudkan suasana tegang dalam masyarakat terutama antara golongan Islam dengan bukan Islam.

Tetapi, isu di Palestin pada asasnya bukan sekadar terkait dengan isu agama bahkan melibatkan isu kemanusiaan.

Hak asasi manusia adalah perkara yang merangkumi keseluruhan aspek dalam kehidupan hak sivil manusia.

Dalam kata mudahnya, manusia dilahirkan dalam keadaan yang sama, malah mereka memiliki hak-hak sama seperti kebebasan dalam menjalani kehidupan diimpikan, kelonggaran untuk bersuara dan kebebasan untuk memiliki harta serta seangkatan dengannya.

Perkaitan hak asasi dengan isu di Palestin merangkumi hak seseorang manusia yang seharusnya dijaga oleh pihak berkepentingan demi kelangsungan bersama.

Dari perspektif Islam, hak asasi manusia tidak mutlak. Ia bermatlamatkan melindungi maruah dan kemuliaan insan yang membezakan antara manusia dan makhluk lain.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Wahbah Az-Zuhaili, Islam sebagai agama yang bersumberkan wahyu daripada ALLAH SWT, anutan yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak-hak asasi manusia.

Sebagai contoh, perubahan dari zaman jahiliah di mana kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dizalimi dan dibunuh kerana jantina mereka ke zaman Islam yang mana kedudukan wanita dimartabatkan serta dipelihara merupakan satu titik tolak kepada elemen penting terhadap hak kebebasan dan kesamarataan bagi manusia.

Hak kemanusiaan telah dijamin oleh syariat dan nilai-nilai moral yang ditegakkan dalam agama.

Malah, dalam Islam juga menekankan betapa pentingnya penghormatan terhadap hak-hak individu dan keadilan serta kesetaraan dalam perlakuan terhadap sesama manusia.

Penerapan hak kemanusiaan dalam Islam haruslah dilakukan dengan penuh kasih sayang dan saksama.

Menangani konflik di Palestin bukanlah perkara mudah tanpa adanya sokongan semua. Kepimpinan dunia seharusnya bermuhasabah kembali dalam menangani isu ini demi kesejahteraan sejagat.

Ketua Jabatan, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, Palestin sebuah negara Islam yang telah menzahirkan sikap ketidakadilan sebuah kepimpinan dunia dalam mengangkat nilai-nilai hak asasi manusia.

“Krisis Palestin dan Israel sudah berlanjutan sekian lama. Sepanjang konflik berdarah itu berlaku, kehidupan rakyat Palestin diranapkan dengan pertumpahan darah yang menggambarkan bahawa pembunuhan itu sudah menjadi kelaziman.

“Tentera Zionis bertindak selaku 'Tuhan' yang mengambil nyawa manusia yang ingin menghirup sisa kehidupan,” jelasnya.

Konflik ketegangan yang bermula selepas sahaja pimpinan dunia mengangkat Israel selaku negara rasmi pada 15 Mei 1948.

Seterusnya sepanjang diiktiraf sebagai sebuah negara, tidak ada satu cebisan nilai keadilan dalam masyarakat yang diamalkan oleh negara Zionis ini.

Perkara ini sehinggakan menjadi satu tanda tanya keberadaan kuasa dunia yang sibuk melaungkan demokrasi serta penjagaan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat dunia, namun isu pertumpahan darah di Palestin dan Gaza diumpamakan tiada perkara yang terjadi di sana.

Hakikatnya saban hari, dunia dipaparkan dengan kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin menerusi pelbagai perbuatan keji.

Namun isu-isu seperti ini sentiasa dikaburkan oleh media barat supaya dapat mengelirukan masyarakat di seluruh dunia dengan alasan untuk menuntut asasi manusia di bawah pemerintahan Israel.

Sedangkan mereka telah lupa bahawa orang-orang Israel telah melenyapkan hak asasi bagi penduduk di Palestin melalui pelanggaran perjanjian perdamaian yang telah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini secara mutlak.

Selama mana kekejaman tentera Zionis ini masih bermaharajalela dalam mengoptimumkan penguasaan mereka ke atas Palestin, selagi itulah nilai hak asasi manusia di Palestin tidak dipedulikan.

Tindakan Israel mengebom Palestin pada Oktober lalu telah menunjukkan kelemahan dan kepura-puraan kuasa besar dan badan antarabangsa dalam menoktahkan kekejaman rejim Zionis sama ada di Semenanjung Gaza mahupun di Tebing Barat.

* Azman Mohd Nawi ialah Editor Sinar Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!