Apa salah Wee Ka Siong?
AWANG rasa pelik juga mengapa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek jadi emosi bila dihujani oleh soalan daripada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong. Beliau pun bukan pembangkang tapi sebahagian daripada kerajaan.
Soal kekurangan guru bukan sahaja dibangkitkan oleh Ka Siong tetapi juga oleh mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan yang lain juga. Fadhlina tentu maklum isu pendidikan dekat di hati semua orang.
Asas pendidikan adalah guru. Sama ada terlebih atau terkurang guru selain komitmen dan kualiti guru, semuanya jadi perhatian masyarakat.
Ka Siong bangkitkan data jumlah guru yang tak konsisten dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Beliau juga bangkitkan soal latihan untuk guru-guru di sekolah Cina. Radzi pula bangkitkan soal penempatan lepasan pelajar yang mengikuti pengajian perguruan di universiti awam.
Masalah yang Awang nampak di sini adalah soal kematangan dan komunikasi. Mungkin juga kasut yang dipakai oleh Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan terlalu besar untuk dirinya. Kementerian ini sangat penting dan menterinya sepatutnya orang yang berpengalaman.
Bagus sangatlah Tuk Seri PMX fikir-fikirkan orang yang lebih wajar di tempat yang sepenting Kementerian Pendidikan apabila beliau buat rombakan kabinet nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!