Runtuhan gudang: Tiga maut, dua parah, empat masih hilang

Mangsa yang cedera dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut dalam kejadian struktur bangunan di tapak pembinaan sebuah gudang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu.
Mangsa yang cedera dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut dalam kejadian struktur bangunan di tapak pembinaan sebuah gudang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Tiga buruh binaan disahkan maut, dua cedera parah manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung dekat sini.

Kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.

Menurutnya, kejadian melibatkan kawasan pembinaan gudang sebuah syarikat swasta.

Mohamed Usuf
Mohamed Usuf

"Ketika kejadian, sembilan pekerja sedang bekerja di bawah satu rasuk sepanjang 12 meter dan seberat 14 tan. Rasuk tersebut telah terjatuh dan terkena 14 rasuk yang lain lalu menimpa mangsa-mangsa yang sedang bekerja di bawah.

"Setakat ini, tiga mangsa telah meninggal dunia yang mana dua maut di lokasi kejadian dan seorang meninggal di hospital. Dua lagi cedera parah manakala empat lagi dipercayai tertimbus dan belum ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Beliau berkata, pasukan bomba sedang berusaha dengan menggunakan kren untuk mengeluarkan mangsa yang masih belum ditemui.

Artikel Berkaitan:

"Kerja menyelamat ini melibatkan 80 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Operasi akan diteruskan pada malam ini juga dengan bantuan dua buah kren.

"Kren-kren ini untuk mengeluarkan rasuk yang terjatuh yang mana kita percaya mangsa berada di bawah rasuk-rasuk tersebut. Operasi agak sukar kerana rasuk tersebut amat berat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Ts Zulfahmi Sutaji berkata, operasi akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui.

"Kita menggunakan dua buah kren untuk keluarkan rasuk-rasuk bagi mengeluarkan mangsa. Rasuk tersebut terjatuh dari ketinggian 20 meter lalu menghempap mangsa yang sedang bekerja.

"Kami memerlukan jentera berat untuk mengalihkan rasuk selain mewujudkan kawasan kerja yang selamat. Kami akan bekerjasama dengan agensi lain sehingga semua mangsa dapat dikeluarkan dari lokasi kejadian," katanya.

Salah seorang mangsa maut dalam kejadian struktur bangunan di tapak pembinaan sebuah gudang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu.
Salah seorang mangsa maut dalam kejadian struktur bangunan di tapak pembinaan sebuah gudang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa.

"Kesukaran kita setakat ini adalah mengalihkan struktur yang terjatuh kerana ia melibatkan struktur-struktur konkrit yang berat dan besar.

"Kerja ini memerlukan jentera mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya kepada pasukan penyelamat boleh akses kepada lokasi mangsa.

"Kita menggunakan kren dan menggunakan khidmat anjing pengesan jika dikhuatiri ada mangsa yang tidak dilaporkan. Kita akan teruskan operasi sehingga semua mangsa dikeluarkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!