Haaland cipta rekod lagi
ERLING Haaland menjadi pemain terpantas menjaringkan 40 gol dalam saingan Liga Juara-Juara apabila Manchester City bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan RB Leipzig 3-2 pada Rabu.
Juara bertahan itu berada di ambang kekalahan pertama dalam kejohanan Eropah di Etihad sejak 2018 apabila Lois Openda mengambil kesempatan pertahanan longlai City untuk menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
Haaland merapatkan kedudukan sebelum gol daripada Phil Foden dan Julian Alvarez memastikan City mengungguli kedudukan teratas Kumpulan G dan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
"Separuh masa pertama adalah yang paling teruk. Namun, pada separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih baik dan mengubah permainan. Pasukan ini mempunyai mentaliti yang hebat untuk itu," kata Foden.
City kini telah memenangi 27 daripada 29 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara di tempat sendiri.
"Kami bolos berpunca daripada kesilapan pertahanan. Mereka perlu memenangi bola.
"Namun, kami bertindak balas dengan sangat baik pada separuh masa kedua dan ya kami berada di tempat pertama dalam kumpulan jadi sangat berpuas hati dengan reaksi daripada pemain," kata pengendali City, Pep Guardiola.
City melakukan dua pertukaran pada separuh masa kedua dengan Jeremy Doku dan Alvarez dibawa masuk dan ia mengubah rentak permainan pasukan.
Alvarez memainkan peranan membuat hantaran kepada Foden, yang kemudian melorongkan bola kepada Haaland untuk menyumbat gol ke-40 Liga Juara-Juara dalam hanya 35 penampilan pada minit ke-54.
Foden kemudian merembat masuk hantaran Josep Gvardiola sebelum Alvarez meledak gol pada minit ke-87 untuk gol keempatnya dalam empat penampilan Liga Juara-Juara musim ini.
"Jeremy mengubah rentak permainan kami dan Julian seorang pemain istimewa ketika berada dalam kotak penalti
"Phil, Julian dan Erling mempunyai sentuhan luar biasa untuk menjaringkan gol," kata Guardiola.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!