Runtuhan gudang: Bunyi dentuman kuat ketika sedang bekerja - Saksi
BAYAN LEPAS - "Ketika kami sedang bekerja, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Keadaan menjadi huru hara."
Demikian kata salah seorang buruh binaan warga Bangladesh, Mohamad Ikhtiar, 38, ketika ditanya mengenai kejadian runtuhan rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung dekat sini.
Dia yang baru bekerja di tapak pembinaan itu sejak tiga bulan lalu berkata, ketika kejadian, dia bekerja dengan sekumpulan rakan senegaranya di tapak berkenaan.
“Kami sedang bekerja di bahagian hadapan apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat dari bahagian tengah. Ia seperti bunyi sesuatu yang jatuh. Kami pergi untuk periksa dan terkejut apabila mendapati rasuk besar dan berat jatuh di atas satu sama lain.
“Kami dengar orang panggil minta bantuan tetapi tiada apa yang boleh kami lakukan dengan struktur konkrit itu.
"Ketika itu baharulah kami sedar bahawa ada orang yang terperangkap di bawah serpihan itu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian pada awal pagi Rabu.
Mohamad berkata, sejurus selepas kejadian, polis dan bomba tiba di tempat kejadian.
“Saya tidak tahu sama ada rakan saya terperangkap di bawah runtuhan atau tidak.
“Bos kami telah meminta kami semua melaporkan diri ke tempat kerja pagi ini (Rabu) untuk membuat kiraan pekerja untuk tahu berapa ramai yang terlibat," katanya.
Sementara itu, Moshir, 50, berkata, dia baharu sahaja tiba di rumah apabila menerima panggilan daripada rakan sekerja memaklumkan kemalangan di tempat kerjanya itu.
Moshir berkata, dia telah bekerja di tapak pembinaan itu sejak lima bulan lalu walaupun projek itu sudah bermula lebih setahun lalu.
“Saya hanya sempat mandi dan solat sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Saya tidak tahu sama ada rakan saya terperangkap atau tidak. Saya risau dengan keadaan rakan sampai tidak selera untuk makan," katanya.
Tambahnya, kebanyakan rakan-rakannya yang hilang itu baru bekerja di tapak pembinaan sejak sebulan lalu.
"Kita memang kerja sampai malam, sini memang boleh kerja sampai malam.
"Sekarang saya harap rakan-rakan saya yang hilang dapat ditemui," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!