Sabah kemuka kertas cadangan tuntutan tambahan MP Sabah, Sarawak Ogos lalu

Nizam (kanan) dan Yusof (kiri) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
Nizam (kanan) dan Yusof (kiri) ketika hadir pada sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah telah mengemukakan kertas cadangan secara rasmi berhubung tuntutan pertambahan sebanyak 35 peratus ahli Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kepada kerajaan Persekutuan pada Ogos lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika diminta penjelasan berhubung perkembangan proses tuntutan kepada kerajaan Persekutuan ketika ini.

"Status bagi perkara pertambahan ahli Dewan Rakyat untuk Sabah dan juga Sarawak merangkumi 35 peratus wakil dari kedua-dua negeri ini ialah kerajaan Sabah telah mengemukakan kertas cadangan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan pada bulan Ogos tahun ini.

"Ini antara perkara yang sudah dipersetujui namun kita masih berbincang kaedah pelaksanaan yang harus dilakukan," katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Tambah Nizam lagi, proses perbincangan rundingan dan pelaksnaan dengan kerajaan Persekutuan adalah melalui beberapa peringkat yang melibatkan aspek perundangan, pentadbiran kewangan, struktur organisasi dan perkara-perkara lain.

"Proses untuk menuntut segala hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia adalah satu proses yang berterusan dan kita mengadakan proses perbincangan, rundingan serta pelaksanaannya.

"Perkara yang saya sebutkan sebelum ini adalah perkara yang telah selesai dan telahpun kita laksanakan namun ada beberapa perkara masih dalam tindakan pelaksanaan dan rundingan bagaimana kaedah untuk dilaksanakan.

"Oleh itu, tuntutan-tuntutan Sabah ini perlu diberikan masa untuk mencapai satu penyelesaian praktikal dengan menggambarkan keperluan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!