Motosikal EX5 dalam tasik cetus tanda tanya
JEMPOL - Sebuah motosikal tanpa penunggang ditemui dalam tasik di Taman Tasik Bahau di sini pada awal pagi Rabu mencetuskan tanda tanya siapa pemiliknya.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, motosikal jenis Honda EX5 berkenaan dipercayai ditemui oleh seorang individu pada jam 6.30 pagi.
Katanya, pihak bomba dan penyelamat dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke tasik berkenaan bagi kerja menyelamat.
"Motosikal itu berjaya dibawa naik ke darat pada jam 7 pagi dan anggota bomba kemudian melakukan penyelaman bagi mencari mangsa.
"Bagaimanapun tiada tanda-tanda mangsa terjatuh ke dalam tasik selain tiada apa-apa penemuan dijumpai oleh pihak bomba," katanya ketika mengesahkan kejadian itu.
Chang Hook berkata, semakan ke atas nombor plat motosikal berkenaan, ia tiada dalam rekod namun polis sedang mengesan pemilik motosikal berkenaan.
Penemuan motosikal di dalam tasik itu menarik perhatian ramai berikutan ada beranggapan mangsa turut terjatuh ke dalam tasik.