Fahmi akan bertemu pengurusan Jabatan Penerangan mengenai rayuan Harakah
PETALING JAYA - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan bertemu dengan pengurusan Jabatan Penerangan dalam waktu terdekat bagi membincangkan rayuan Harakah berhubung tindakan menarik balik kad perakuan media wartawannya.
Beliau berkata, sebelum ini, Jabatan Penerangan sudah diminta untuk meneliti rayuan Harakah, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
Pada masa yang sama, Fahmi berkata, beliau difahamkan Jabatan Penerangan sedang meneliti isu-isu berkenaan etika kewartawanan dengan garis panduan yang diwujudkan pada 1989.
"Jadi, mungkin Jabatan Penerangan ingin kemas kini dan menambah baik garis panduan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas CX Summit 2023 pada Rabu.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, Jabatan Penerangan ada sebab tersendiri untuk menarik balik kad perakuan media Harakah dan penjelasan lanjut perlu dirujuk dengan jabatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!