'Tak apalah, aku nak mati dah...'

Azlina (kiri) bersama Ahmad Afiq Aiman (kanan) menunjukkan gambar Mohamad Riskie Asraf.
Azlina (kiri) bersama Ahmad Afiq Aiman (kanan) menunjukkan gambar Mohamad Riskie Asraf.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tidak menyangka kata-kata mengenai kematian yang sering diucapkan anaknya menjadi kenyataan apabila Mohamad Riskie Asraf Mohd Reduan, 9, ditemukan lemas di takungan air di Kampung Derdap, Pasir Tumboh di sini pada Selasa.

Ibu kanak-kanak itu, Azlina Ahmad Azmi, 43, berkata, anak keenam daripada lapan beradik itu kerap memberitahu sudah hendak mati sejak sebulan lalu selain berubah sikap menjadi pendiam.

Malah, arwah juga sempat meminta maaf dengan neneknya, Hasnah Sulong, 75, pada Isnin lalu.

Mohamad Riskie Asraf
Mohamad Riskie Asraf

“Biasanya saya pergi ke rumah ibu mentua di Gong Dermin pada hujung minggu tetapi kali ini dia pergi sendiri bersama kakaknya.

"Dia meminta maaf, bersalam dan cuim neneknya selain memberitahu itu adalah kali terakhir dia ke rumah nenek.

“Dia kanak-kanak yang periang tetapi akhir-akhir ini tidak banyak bercakap dan sering menyebut, “tak apalah, aku nak mati dah”,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Pasir Tumboh di sini pada Selasa.

Menceritakan semula tragedi itu, pembantu kedai makan tersebut memberitahu, dia yang baru pulang dari tempat kerjanya di Padang Tembak, Pengkalan Chepa didatangi penduduk kampung memberitahu Mohamad Riskie Asraf lemas di kawasan takungan air sejauh 100 meter dari rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

Penduduk melihat kawasan takungan air yang mengorbankan Mohamad Riskie Asraf.
Penduduk melihat kawasan takungan air yang mengorbankan Mohamad Riskie Asraf.

Katanya, tempat mangsa ditemukan lemas tersebut kebiasaannya kering dan hanya dipenuhi air sejak hujan musim Monsun Timur Laut (MTL) seminggu ini.

“Saya reda dengan pemergiannya dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Derdap pada jam 10 pagi tadi (Rabu),” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa saudara yang sebaya dan rapat dengan mangsa, Ahmad Afiq Aiman Ahmad Azmi berkata, kebetulan dia melalui kawasan kejadian untuk ke kedai makan berdekatan dan melihat mangsa terjun sebelum lemas.

“Saya nampak tangan dia sahaja dan berlari ke kedai makan untuk meminta bantuan penduduk.

“Mereka membantu untuk menyelamatkannya tetapi gagal,” katanya.

Selipar yang dipakai mangsa masih tertinggal di tepi tempat takungan air.
Selipar yang dipakai mangsa masih tertinggal di tepi tempat takungan air.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan bomba sejauh empat meter dari tebing takungan air yang dianggarkan kedalaman 1.7 meter.

“Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kecederaan di tubuh badan mangsa.

“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!