Operasi sindiket tipu pelaburan di sebalik banglo bekas konsulat
KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pelaburan yang dikawal rapi dengan pengawal keselamatan bersenjata di sebuah banglo yang pernah menjadi pejabat dan kediaman konsulat sebuah negara asing di sini digempur polis 22 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil risikan pihaknya itu berjaya menahan 28 individu termasuk 15 warga asing berusia 20 hingga 62 tahun.
Menurutnya, semakan mendapati warga asing terbabit terdiri daripada tujuh warga China, Brunei (4) dan Korea Selatan (4).
"Polis telah merampas beberapa barang antaranya sebuah notebook, laptop dan tablet selain 41 telefon bimbit, kereta jenis Lexus (1), kad akses (2) serta dokumen (1)," katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Rabu.
Jelas Ramli, siasatan mendapati sindiket menawarkan pelaburan berkonsep ‘money game’ iaitu pelaburan lumayan dalam masa singkat dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga tempatan, Brunei, Korea Selatan, dan China.
Katanya, terdapat tujuh pakej pelaburan ditawarkan dalam bentuk kripto iaitu serendah 155 USDT (RM720.75) hingga 31,000 USDT (RM144,150) dan menjanjikan pulangan harian satu hingga dua peratus selama 155 hari.
“Transaksi pelaburan adalah menggunakan mata wang kripto dan dilakukan dalam talian melalui laman sesawang yang dikendalikan pihak sindiket,” ujarnya.
Justeru, Ramli menyarankan kepada orang ramai yang ingin melakukan pelaburan mata wang kripto menerusi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
"Setakat ini hanya lima syarikat sahaja dibenarkan oleh pihak SC melakukan urusan berkaitan mata wang kripto di Malaysia iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, HATA Digital Sdn Bhd, MX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd serta Tokenize Technology (M) Sdn Bhd," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!