Runtuhan gudang: Kerja alih rasuk siap 80 peratus
BAYAN LEPAS - Kerja-kerja mengalih rasuk yang runtuh mencapai hampir 80 peratus siap sebelum kerja mencari dan menyelamat mangsa dapat dijalankan.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ketika ini, anggota penyelamat sedang berusaha menjalankan kerja mengalihkan rasuk yang runtuh di tapak berkenaan.
Menurutnya, isu keselamatan merupakan aspek penting yang dititikberatkan dalam menjalankan kerja pengalihan rasuk berkenaan.
"Kerja-kerja menyelamat dan mencari diteruskan sejak 10.30 malam tadi sehingga sekarang oleh anggota bomba tanpa henti. Keselamatan perlu diutamakan memandangkan keadaan di tapak sangat berbahaya. Kita tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan.
"Oleh itu, bomba dengan bantuan kren dan pasukan SMART sedang sedaya upaya bekerja untuk mengalihkan. Sekarang proses mengalihkan rasuk hampir 80 peratus siap.
"Kita akan dapat menjalankan usaha mencari dan menyelamat dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.
Tambah beliau, identiti mangsa yang masih hilang sudah dikenal pasti.
"Setakat ini tiga sudah meninggal dunia, dua cedera parah dan empat masih hilang. Kesemua mangsa berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun," katanya.
Sebelum itu, Mohamed Usuf mengiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pemimpin negeri lain yang melawat tapak kejadian.
Awal pagi Rabu, polis mengesahkan tiga buruh binaan maut, dua cedera parah manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan tersebut.
Kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.
Sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran berkata, pihaknya perlu menunggu sehingga siasatan selesai sebelum mengambil tindakan terhadap pemaju projek.
"Kita sudah berikan notis berhenti kerja yang berkuatkuasa serta merta.
"Kita perlu menjalankan siasatan dalaman dan luaran bersama beberapa agensi lain antaranya Persatuan Arkitek Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang untuk menentukan tindakan-tindakan yang perlu diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!