Kedah tidak putus asa tuntut caj air mentah daripada Pulau Pinang

Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria ketika sidang DUN Kedah pada Rabu. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman
Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria ketika sidang DUN Kedah pada Rabu. Foto: Urus Setia Penerangan Darul Aman
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tidak akan berputus asa untuk menyelesaikan masalah tuntutan bayaran air mentah daripada Pulau Pinang.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, Syarikat Air Darul Aman (SADA) membayar caj air mentah dari sumber air diproses kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang memaklumkan, negeri jiran tidak membayar untuk caj air mentah itu.

"LSANK telah mewujudkan satu pasukan yang dipanggil pasukan pakar yang kini dalam proses pelantikan untuk sesi baru dan mereka termasuk kalangan ilmuan (dan) kalangan orang terlibat dengan pakar undang-undang.

"Insya-ALLAH, (pasukan itu) akan mengkaji bagaimana cara mengikut proses undang-undang bagi kita dapatkan hak kita," katanya ketika sesi pergulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian kepada menjawab celahan Hanif Ghazali (Tanjung Dawai-Pas) tentang tindakan lain bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah itu.

Beliau menjelaskan, SADA membayar caj air mentah pada kadar tiga sen per meter padu dengan jumlah RM1.5 juta sebulan ataupun RM18 juta setahun.

Sehubungan itu, kata Mohamad Yusoff, Pulau Pinang juga sepatutnya membayar caj air mentah ke Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Jikalau, dia (Pulau Pinang) bayar, maka kita boleh perolehi RM40 juta setahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, kerajaan negeri akan terus komited untuk memartabatkan pemeliharaan Central Forest Spine (CFS) dan Rangkaian Ekologi di Kedah yang meliputi keluasan tanah berhutan seluas 344,945 hektar bersamaan 36.6 peratus daripada keluasan negeri.

"Kawasan inilah yang kita sebut sebagai kawasan yang dipelihara (dan) yang dijaga,yang jikalau dikira nilai hasil balaknya sebanyak RM1 trilion (dan) jikalau RM1 trilion ini dijadikan simpanan tetap (maka) boleh dapat keuntungan RM100 juta.

"Inilah yang menjadi asas yang selalu disebut oleh Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), yang kita tuntut ganjaran pampasan daripada kerajaan pusat kerana kita mengekalkan kawasan tadahan hujan, mengekalkan kawasan membekalkan sumber air bukan sahaja kita tetapi negeri lain," katanya.