Pemberian khas kepada Sabah, Sarawak telah disempurnakan - PM
KUALA LUMPUR -- Bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu RM300 juta kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah disempurnakan semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan semakan kadar amaun pemberian khas melalui penyelesaian secara interim itu telah diwartakan.
"Bagi melaksanakan semakan kadar amaun pemberian khas baharu ini berdasarkan Perkara 112D(1) dan 112D(5) Perlembagaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sarawak) 2023 telah diwartakan dalam Warta
Kerajaan Persekutuan pada 24 Nov 2023,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak telah mencapai persetujuan untuk semakan kadar amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa bermula tahun 2023 sebagai penyelesaian secara interim sementara proses memuktamadkan formula semakan pemberian khas bagi jangka panjang.
Penyelesaian secara interim ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang telah berlangsung pada 20 Jan 2023 dan telah dibentangkan dalam Belanjawan 2024.
Persetujuan adalah meliputi perkara-perkara berikut:
(a) Kadar amaun pemberian khas baharu bagi negeri Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta mulai 2023.
Kadar interim ini merupakan peningkatan kepada amaun yang sedang berkuat kuasa RM16 juta setahun bagi negeri Sarawak sejak tahun 1969 dan RM125.6 juta bagi negeri Sabah bagi tahun 2022 melalui semakan interim yang telah dilaksanakan untuk Sabah pada tahun 2022;
(b) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak komited untuk meneruskan perundingan dan melaksanakan semakan semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk memuktamadkan formula penentuan kadar pemberian yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan;
(c) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak akan melaksanakan kajian semakan pemberian khas dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112D(2) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!