Cek mek molek 'Dragon Ball' variasi kuih musim tengkujuh

Arash (kanan) bersama pekerja menunjukkan kuih Cek Mek Molek yang diberi nama 'Dragon Ball' yang dijual ketika ditemui Bernama di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama
Arash (kanan) bersama pekerja menunjukkan kuih Cek Mek Molek yang diberi nama 'Dragon Ball' yang dijual ketika ditemui Bernama di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Percubaan seorang remaja mengubah suai bentuk asal kuih cek mek molek kepada bebola kecil yang diberi nama 'dragon ball' sejak dua bulan lepas nyata berhasil apabila mendapat permintaan tinggi pelanggan.

Arash Sahabi, 18, berkata, keputusan untuk menjual kuih tradisional yang popular di Pantai Timur itu dengan sedikit olahan dibuat kerana mahu menyediakan variasi manisan kepada orang ramai terutamanya ketika musim tengkujuh.

"Biasanya pada musim banjir, banyak gerai menjual putu halba dibuka. Saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza dan ternyata ia percubaan yang sangat berbaloi.

Menyelerakan... Kuih Cek Mek Molek yang diberi nama 'Dragon Ball' yang dijual Arash di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama
Menyelerakan... Kuih Cek Mek Molek yang diberi nama 'Dragon Ball' yang dijual Arash di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama

"Kuih cek mek molek yang diperbuat daripada adunan ubi keledek rebus dengan tepung gandum lazimnya mempunyai inti gula yang cair dan berbentuk bujur, namun versi saya berbentuk bulat tanpa ada gula di dalamnya," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Arash berkata, pada awalnya dia menjual kuih itu di Pasir Tumboh dengan 10 kilogram (kg) doh sehari, namun berikutan permintaan yang tidak putus-putus, dia membuka dua lagi gerai di sekitar Kota Bharu iaitu di Tunjong dan Kampung Limbat yang berdekatan dengan restoran ibunya minggu lepas.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu sejak dua minggu lepas, jumlah adunan yang disediakan untuk jualan ditingkatkan kepada 30 kg bagi setiap gerainya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

Arash (kiri) bersama pekerja menyediakan sebahagian kuih Cek Mek Molek 'Dragon Ball' yang dijual ketika ditemui Bernama di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama
Arash (kiri) bersama pekerja menyediakan sebahagian kuih Cek Mek Molek 'Dragon Ball' yang dijual ketika ditemui Bernama di Pasir Tumboh di sini. - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Arash berkata, kuih cek mek molek versi baharu itu agak kurang dikenali di Kelantan kerana tidak banyak gerai yang menjualnya, justeru memberi kelebihan kepadanya sehingga ada pelanggan yang sanggup beratur untuk mencuba kuih berkenaan.

"Syukur sangat kerana kebanyakan pelanggan memberi maklum balas yang positif, malah mereka pula mempromosikan kepada orang lain untuk turut mendapatkan kuih cek mek molek dragon ball di gerai saya," katanya.

Kuih cek mek molek dragon ball yang diusahakan Arash itu dijual panas-panas kepada pelanggan pada harga RM5 bagi 20 biji yang disediakan dalam tiga variasi warna iaitu merah, hijau dan kuning. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!