Haram intip dan sebar aib orang
PANTANG mendengar sesuatu informasi terbaharu, jari mula 'gatal' menekan butang kongsi di media sosial tanpa usul periksa.
Lebih gamat lagi apabila ada pihak yang mula membuat komentar, mengintai, mengintip dan mencari aib serta kesalahan orang lain.
Akhirnya satu demi satu aib yang selama ini tersimpan kemas, dikuak satu persatu.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan agar kita tidak terlalu ghairah berkongsi dan menyelongkar keaiban orang lain serta menyebarkannya.
Ketahuilah bahawa perilaku itu termasuk sebagai perbuatan tajassus yang diharamkan, ungkapnya.
Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kalian melakukan tajassus serta janganlah kalian saling mengunpat antara satu sama lain." (Surah al-Hujurat, ayat 12)
"Kata guru kami, Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir,tajassus dari sudut istilah bermaksud mencari-cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia," katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial miliknya.
Peringatan sama turut dikongsikan pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir menerusi aplikasi X.
Jelas beliau, betapa besarnya dosa tajassus iaitu mencari-cari aib dan kesalahan orang lain.
"Belajarlah agama sampai kamu tahu dan faham betapa besarnya dosa tajassus. Kenapa ia termasuk ke dalam dosa besar dan mengapa ALLAH sebut langsung perbuatan ini dalam al-Quran?
"Balasan bagi orang yang gemar busy body (menyibuk hal orang), mengintip, mencuri dengar untuk mencari-cari kesalahan orang lain adalah 'Akan dituang tembaga panas ke dalam telinganya pada hari kiamat'.
"Demikianlah sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis Riwayat Imam al-Bukhari," coretnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!