KKR terima lebih 4,900 aduan masalah jalan raya menerusi MYJalan
SHAH ALAM - Lebih 4,900 aduan berkaitan masalah jalan raya diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) termasuk jalan berlubang dan kerosakan papan tanda melalui aplikasi MYJalan sejak dilancarkan Ogos lalu hingga kini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah tersebut hanya 27 peratus aduan yang dibuat itu melibatkan jalan seliaan pihaknya.
"Apabila kita membuat semakan, kita dapati hanya 27 peratus yang diadukan itu berkaitan dengan jalan seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan persekutuan dan lebuh raya. Selain itu ia berada dalam kategori jalan negeri dan jalan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Aplikasi MYJalan ini penting bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi saya nampak kita boleh pertingkatkan atau luaskan lagi penggunaannya. Sebagai contoh untuk bina bank data di seluruh jalan.
"Keadaan ini secara tidak langsung turut membantu negeri atau PBT. Mereka boleh gunakan maklumat ini untuk tuntut lebih banyak dana daripada Kementerian Kewangan (MOF) kerana jalan negeri atau di bawah PBT melibatkan seliaan negeri," katanya ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, sejak dilancarkan Ogos lalu, aplikasi tersebut telah dimuat naik lebih 9,000 pengguna di seluruh negara.
Ujarnya, aplikasi MYJalan membuka ruang kepada semua pihak khususnya pengguna jalan raya untuk membuat sebarang aduan mengenai kerosakan dengan menghantar gambar dan dimuat naik melalui aplikasi tersebut.
Nanta merupakan menteri kabinet kelapan muncul di dalam program anjuran Sinar Harian tersebut.
Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!