Punca utama jalan rosak kerana kenderaan lebih muatan - Nanta
SHAH ALAM - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui punca utama berlaku kerosakan jalan terutamanya berlubang disebabkan kenderaan berat yang membawa lebih muatan.
Menurutnya, perbincangan untuk penyelesaian jangka panjang juga telah dibuat khususnya dengan Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab dalam aspek penguatkuasaan.
Ini kerana katanya, kegunaan jalan bukan hanya melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR) tetapi turut membabitkan Kementerian Pengangkutan (MOT).
"(Dalam hal larangan kenderaan berat) kuasa besarnya terletak di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maksudnya bukan semata-mata KKR yang melaksanakan larangan.
"Cuma, kita memang ada berbincang dengan MOT untuk letak had muatan dan memang betul kerosakan jalan raya ini selalunya kerana kenderaan lebih muatan. Sebab itulah jalan mudah rosak dan punca-punca lain.
"Jadi, untuk pastikan hadkan penggunaan kenderaan melebihi muatan kita kena buat libat urus dengan pihak pihak berkaitan," katanya ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan seorang penonton mengenai kemungkinan KKR akan mempertimbangkan untuk memperluaskan loaksi larangan kenderaan berat pada waktu puncak di kawalan lebuh raya.
Ujarnya, sebelum sesuatu pelaksanaan termasuk menghadkan jumlah muatan kenderaan berat yang boleh melalui sesebuah jalan, Nanta berkata, pelbagai perkara pertimbangkan.
Sebagai contoh katanya, ia perlu mengambil kira sama ada jalan terlibat merupakan kawasan ekonomi atau terletak berdekatan pelabuhan atau kilang.
"Kita bimbang kalau terlalu bertegas untuk melarang kenderaan berat melalui sesuatu jalan ia akan menjejaskan ekonomi kita. Jadi, inilah perkara yang kita akan teliti sebelum tingkatkan spesifikasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!