COP28: Agong, Raja Permaisuri adakan lawatan khas ke UAE

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke UAE mulai pada Rabu hingga 4 Disember depan. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke UAE mulai pada Rabu hingga 4 Disember depan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai pada Rabu hingga 4 Disember depan.

Kementerian Hal Ehwal Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu adalah sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) yang akan berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember di Dubai.

Baginda berdua akan diiringi oleh paduka anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Rombongan diraja itu juga terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan, Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta para pegawai kanan kerajaan.

Semasa lawatan itu, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat ke Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Dunia serta Segmen Peringkat Tinggi bagi Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka juga berkenan melancarkan Pavilion Malaysia serta berangkat ke upacara pertukaran dokumen membabitkan syarikat Malaysia dan rakan sejawat mereka di luar COP28.

Baginda turut berkenan untuk mengurniakan darjah kebesaran tertinggi negara kepada Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan ahli keluarga pemerintah Abu Dhabi itu.

Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed juga akan menyerikan majlis pertukaran dokumen berkaitan pelaburan sebanyak AS$8 bilion oleh Masdar UAE dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa kunjungan beliau ke UAE pada 5 dan 6 Oktober lepas.

UAE adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport dan sumber import di Timur Tengah.

Nilai dagangan Malaysia dengan UAE direkodkan berjumlah RM38.73 bilion (AS$8.79 bilion) pada 2022, peningkatan sebanyak 73.5 peratus berbanding RM22.23 bilion (AS$5.39 bilion) bagi tahun sebelumnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!