Sabah FC buru slot pusingan kalah mati

Kim Swee (kiri) ketika sidang akhbar di Singapura pada Rabu. - Foto Facebook Sabah FC
Kim Swee (kiri) ketika sidang akhbar di Singapura pada Rabu. - Foto Facebook Sabah FC
A
A
A

SABAH FC memburu kemenangan ke atas pasukan dari Singapura, Hougang United dalam aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Jalan Besar pada Khamis.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, perlawanan tersebut amat penting namun tidak memandang rendah keupayaan Hougang yang turut memiliki helah tersendiri dalam perlawanan itu.

"Sudah tentu ia perlawanan yang penting untuk kedua-dua pasukan dan sudah tentu saya menjangkakan perlawanan sukar dan menarik terutama Hougang yang mendapat keputusan bagus menentang Lion City (seri 1-1 dalam Piala Singapura.

"Kami tidak boleh ambil mudah dan seperti yang selalu saya katakan fokus sepenuhnya kepada permainan dan sudah tentu kami akan dapat keputusan yang positif," katanya dalam satu sidang akhbar pra perlawanan pada Rabu.

Ketika ini, Sabah berada kedudukan teratas Kumpulan H dengan sembilan mata dan kemenangan ke atas Hougang akan memastikan tempat ke pusingan kalah mati.

Untuk rekod, Sabah menewaskan Hougang 3-1 pada pertemuan di Stadium Likas pada aksi pertama kumpulan.

Namun, Kim Swee menjangkakan permainan berbeza akan dipamerkan pasukan Singapura itu.

"Kami perlu menjangkakan permainan berbeza daripada Hougang berbanding ketika bermain di Likas sebelum ini. Saya percaya dengan momentum dan disiplin kami dapat capai apa yang kami mahukan.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga sedang berada di penghujung musim dan ada banyak kecederaan dan keletihan terutama dengan pemain kebangsaan.

"Kami ada perancangan untuk gilirkan pemain, tetapi esok kesebelasan utama yang akan beraksi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!