Kualiti tar jalan raya diberi penekanan
SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) menjalinkan kerjasama dalam membantu memperbaiki kualiti jalan raya di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi makmal milik Jabatan Kerja Raya (JKR), semua bahan akan diuji untuk menentukan kualiti tar jalan yang dikehendaki supaya ia menepati piawaian.
“Dua minggu lalu, saya melawat ke makmal JKR dan di sana pelbagai ‘pavement’ diuji dengan teknik baru.
“Saya difahamkan keadaan jalan raya di negara kita telah melebihi usia. Jadi sebab itu ia mudah rosak.
“Pada masa hadapan kita akan memberi penekanan kepada kualiti untuk dapatkan bahan terbaik. Kita ada kerjasama dengan Petronas berkenaan hal ini,” katanya dalam sesi Town Hall Rakyat di Auditorium Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan seorang penonton mengenai isu teknikal kerosakan jalan raya bagi memastikan kualiti tar pada tahap yang optimum.
Sebagai makluman, sesi Town Hall Rakyat sebelum ini menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!