Beri ruang PJS, MOM bertenang - Hannah

Hannah Yeoh ditemui media selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UITM, pada Rabu. - Foto Bernama
Hannah Yeoh ditemui media selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UITM, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) meminta semua pihak memberikan ruang kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk bertenang dalam mengakhiri kemelut yang timbul antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Malah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, percaya isu yang melibatkan dua entiti penting dalam sukan negara itu dapat diselesaikan dengan cara yang cukup profesional.

“Saya percaya perkara ini, kita boleh selesaikan dengan cukup profesional dan tenang. Tapi saya minta, supaya diberikan masa untuk kita lihat isu-isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.

“Isu pokoknya adalah mengenai e-sukan. Namun disebabkan (isu) terkeluar dari landasan, jadi isu pokoknya belum diselesaikan. Itu adalah keutamaan saya untuk selesaikan (masalah e-sukan) kerana atlet e-sukan meminta kita untuk selesaikan antara MEGA (Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia) dan MESF (Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia).

“Saya percaya, pertemuan yang diadakan dan juga rasa kesal dikeluarkan PJS sudah cukup buat masa sekarang. Biar kita cari masa untuk selesaikan masalah pokok iaitu e-sukan terlebih dulu,” katanya pada Rabu.

Hannah berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Shah Alam.

Pada masa sama tegas Hannah, perkara yang paling penting sekarang adalah memastikan jawatan PJS itu kekal profesional.

“Saya percaya situasi sekarang agak aman dan kita bagi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertenang.

Artikel Berkaitan:

“Biarpun begitu untuk saya, yang paling penting adalah memastikan jawatan PJS itu kekal profesional dan tiada berat sebelah dan neutral.

“Itu sangat penting kerana ia jawatan yang cukup penting untuk menguatkuasakan Akta Pembangunan Sukan dan seperti saya nyatakan dalam Parlimen, ekosistem sukan yang harmoni sangat penting bagi kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!